ZAINAL (tengah) memperkatakan sesuatu pada sesi latihan. FOTO Melaka United
ZAINAL (tengah) memperkatakan sesuatu pada sesi latihan. FOTO Melaka United
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United (MU) berwaspada dengan perubahan drastik Sabah FC menjelang aksi pertama suku akhir Piala Malaysia di Kota Kinabalu malam esok.

Pengurus pasukan Melaka, Muhammad Akram Abdullah berkata, tidak dinafikan peningkatan ketara pasukan itu selepas dibimbing bekas jurulatih kebangsaan dan skuad Hang Tuah, Datuk Ong Kim Swee.

Katanya, saingan diramal amat getir tambahan Sabah mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri selain semangat mereka juga lebih positif selepas menewaskan PJ City minggu lalu.

Bagaimanapun, dia melihat pencapaian sebenar hanya bakal diukur dalam tempoh 90 minit permainan dan pasukan yang kurang melakukan kesilapan mampu mencipta kemenangan.

"Azam kami untuk meraih mata maksimum kerana kemenangan dalam perlawanan itu sedikit melegakan bila beraksi di laman sendiri pada pusingan kedua kelak.

"Apa yang pasti semangat pemain amat tinggi ketika ini selepas persembahan cemerlang pasukan yang berjaya muncul juara Kumpulan C sebelum ini," katanya.

Akram berkata, jika rentak mantap seperti ketika menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) 2-0 di Paya Rumput minggu lalu mampu ditampilkan, tidak mustahil Melaka dapat meraih keputusan positif.

Sementara jurulatih Melaka Zainal Abidin Hassan berkata, dia berharap momentum yang diperolehi ketika ini terus dikekalkan apabila berdepan Sabah termasuk tidak memberi peluang kepada penyerang lawan melakukan percubaan.

Katanya, dia juga mahu pemain melipatgandakan usaha ketika berdepan KDA dengan disiplin tinggi untuk mengharungi saingan getir tuan rumah di Likas malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 2:24 PM