PERTAHANAN PDRM Muhamad Eskandar Ismail (kiri) diasak pemain Kedah Muhd Ariff Farhan pada aksi separuh akhir.
PERTAHANAN PDRM Muhamad Eskandar Ismail (kiri) diasak pemain Kedah Muhd Ariff Farhan pada aksi separuh akhir.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pemain pertahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Abd Latiff Suhaimi yakin pasukannya mampu mencipta kejutan pada saingan pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, 15 Oktober ini.

Walaupun tewas 1-2 pada aksi pertama di Stadium Darulaman, Alor Setar minggu lalu namun ia bukan halangan buat The Cops menafikan kelebihan dimiliki Helang Merah yang pastinya mahu meneruskan keazaman mereka melangkah ke final buat kali kedua berturut-turut.

Menurutnya, dia sedar dengan kekuatan Kedah apatah lagi lawan dibarisi pemain berpengalaman seperti Baddrol Baktiar dan pemain import Thiago Agusto serta bintang muda berkualiti tetapi ia bukanlah halangan untuk PDRM mencipta kemenangan.

Katanya, sentuhannya bersama Mohd Fakhrul Aiman Sidid yang menyertai skuad kebangsaan ketika ini diharap mampu mematangkan gaya permainan mereka.

“Kami akan menjadikan latihan dan perlawanan antarabangsa bersama skuad Datuk Ong Kim Swee sebagai pentas menimba pengalaman dan idea penting yang akan kami terjemahkan dalam Piala Malaysia.

“Malah, sesi latihan bersama Harimau Malaysia juga memberi kesempatan buat kami menilai keistimewaan Baddrol yang menjadi senjata utama skuad kendalian Tan Cheng Hoe. Bagi saya, kelebihan kami tetap ada kerana memiliki jaringan di gelanggang lawan,” katanya.

Apapun, Abd Latiff mengaku saingan di Kedah sebelum ini jelas memberi sedikit tekanan buat PDRM kerana beraksi di depan puluhan ribu penyokong tuan rumah namun pertemuan kedua bakal berlangsung di Melaka sekali gus membolehkan dia dan rakan-rakan bermain dengan lebih yakin.

Katanya, kerjasama rakan sepasukan akan terus dipertingkat menerusi strategi jurulatih Mohd Fauzi Pilus dalam usaha melakar sejarah mara ke final buat kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 8:42 AM