ZINEDINE Zidane. FOTO Agensi
ZINEDINE Zidane. FOTO Agensi
Agensi

London: Manchester United dilaporkan meningkatkan usaha untuk memujuk Zinedine Zidane menggantikan Ole Gunnar Solskjaer Old Trafford.

Tekanan kini semakin tinggi untuk Solskjaer apabila United mengalami kekalahan kali keenam termasuk dibelasah 5-0 di halaman sendiri oleh Liverpool serta tewas 0-2 kepada Manchester City.

Kini Sunday Times melaporkan United sedang berusaha memujuk Zidane untuk menggantikan tempat pengendali dari Norway itu.

Zidane, 49, ketika ini tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas meninggalkan Real Madrid buat kali kedua pada hujung musim lalu.

Rekod pengendali dari Perancis itu di Real Madrid amat menakjubkan apabila tiga kali memenangi Liga Juara-Juara dan dua gelaran La Liga.

Difahamkan Zidane belum cukup yakin sama ada menjadi pengurus United adalah keputusan yang tepat.

Dia sebut-sebut sebagai pengurus seterusnya Paris Saint-Germain (PSG) jika Mauricio Pochettino tidak lagi bersama gergasi Ligue 1 itu selain pilihan utama untuk membimbing skuad kebangsaan Perancis.

United bagaimanapun berharap hubungan Zidane dengan Cristiano Ronaldo dan Raphael Varane dapat membantu meyakinkannya yang Old Trafford adalah pilihan tepat untuknya.

Zidane pernah membimbing kedua-dua pemain itu yang menyertai United pada jendela perpindahan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 9:30 AM