ZIDANE dikatakan turut mendapat tawaran mengendalikan Bayern. -FOTO AFP
ZIDANE dikatakan turut mendapat tawaran mengendalikan Bayern. -FOTO AFP
Agensi

Paris: Zinedine Zidane menegaskan dia lebih berminat menguruskan Manchester United berbanding Bayern Munich.

Ia susulan apabila timbul khabar angin yang mengatakan kedudukan Erik ten Hag di Old Trafford dikatakan terancam akibat musim yang tidak konsisten.

Pengendali Belanda itu boleh meninggalkan kelab pada penghujung musim dengan bekas pemain Perancis itu dilihat sebagai pengganti berpotensi mengambil alih tugas berkenaan.

Akhbar Perancis L'Equipe melaporkan bahawa Zidane semakin hampir menggantikan Thomas Tuchel di Bayern Munich pada akhir musim ini.

Walau bagaimanapun, beberapa perkara perlu diselesaikan sebelum perjanjian ditandatangani.

Menurut laporan itu antara halangannya ialah Zidane, 51, lebih suka mengambil alih jawatan pengurus di Manchester United.

Selain itu masalah bahasa serta kehidupan di Bavaria menjadi halangan utama buat Zidane.

Bayern masih "sangat berminat" untuk mengambil bekas pengendali Real Madrid itu dengan Tuchel disahkan akan pergi pada musim panas ini.

Zidane menghormati Bayern dan mengakui menghargai perpindahan ke Allianz Arena boleh memberinya peluang lebih mencabar untuk memburu kejuaraan.

Perkara ini mungkin tidak berlaku di Red Devils yang berada di luar rentak dalam mencabar kejuaraan Liga Perdana musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 9:34 AM