KPAH Sherman. FOTO Aizuddin Saad
KPAH Sherman. FOTO Aizuddin Saad
Izzali Ismail


Alor Setar: Penyerang import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kpah Sherman rela berkorban demi skuad Hijau Kuning dalam menggalas misi penting pada aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Ahad ini.

Meskipun mempunyai pilihan untuk menyertai skuad kebangsaan Liberia yang kini melalui jadual perlawanan kelayakan Piala Dunia, namun dia sudah mengadakan rundingan dengan jurulatihnya bagi mendapat kebenaran meneruskan aksi bersama Kedah.

"Saya berkorban untuk Kedah kerana pasukan kami (Liberia) hanya berbaki dua perlawanan lagi dan selepas dihubungi jurulatih, saya berunding dan nyatakan hasrat saya mahu membantu Kedah dalam saingan Piala Malaysia, dan saya berharap dengan adanya saya di sini dapat membantu Kedah.

"Apa yang penting buat masa ini adalah untuk mendapatkan kejayaan buat Kedah pada aksi Piala Malaysia," katanya.

Sherman juga berkata, KDA FC kini berdepan cabaran besar untuk berdepan juara Liga Super JDT sekali gus berazam mahu membuktikan aksi terbaiknya.

"JDT sebuah pasukan yang kuat namun kami mahu pastikan aksi terbaik kami kali ini untuk menghadapi mereka dan berharap segala rancangan kami kali ini mencapai kejayaan.

"Ini sudah pasti akan menjadi satu perlawanan yang sukar buat kami untuk menentang skuad bergelar juara, namun kami tetap akan turun dengan usaha seratus peratus," katanya.

Sherman juga mengharapkan sokongan penyokong Kedah yang bakal hadir ke Stadium Darul Aman bagi memberi suntikan motivasi serta sokongan padu buat pemain yang beraksi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 11:32 AM