SHERMAN dipanggil menyertai skuad Liberia. FOTO Ihsan KDA FC
SHERMAN dipanggil menyertai skuad Liberia. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Penyerang sensasi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Kpah Sherman terus menyerlahkan reputasi dirinya di pentas antarabangsa apabila dipilih mewakili skuad kebangsaan Liberia dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan Mauritania dan Libya di Tunisia bulan ini.

Berita gembira itu dikongsi laman media rasmi KDA FC hari ini yang menyifatkan pemilihan Sherman mewakili negaranya sebagai satu kebanggaan untuk skuad Hijau Kuning.

Pada musim ini, Sherman menjadi pemain keempat yang dipilih menyertai skuad negara masing-masing selepas Rabih Ataya yang dipanggil mewakili skuad kebangsaan Lebanon, M Anumanthan (Singapura) dan Rizal Ghazali (Malaysia).

"Tahniah diucapkan kepada penjaring terbanyak pasukan pasukan KDA FC ketika ini, Kpah Sherman yang mendapat panggilan skuad Kebangsaan Liberia untuk menghadapi beberapa perlawanan persahabatan.

"Pasukan Kebangsaan Liberia akan mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang pasukan Mauritania pada 11 Jun dan Libya pada 14 Jun ini yang akan berlangsung di Tunisia.

"Sherman akan pulang ke Liberia pada Isnin ini. Selamat maju jaya diucapkan Pulun Sherman Pulun!!," katanya.

Sementara itu Sherman yang memiliki pengalaman sembilan kali bersama skuad kebangsaan Liberia sejak 2014 ketika dihubungi berkata beliau berharap dengan panggilan berkenaan dapat terus memberinya motivasi untuk meningkatkan lagi prestasi permainan.

"Kali terakhir saya mewakili skuad Liberia adalah pada 2019 dan saya gembira serta bersyukur kerana dapat menjaringkan gol ketika menentang pasukan pada tahun berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 5:57 PM