Aksi bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo dalam saingan Liga Perdana. FOTO EPA
Aksi bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo dalam saingan Liga Perdana. FOTO EPA
AFP

London: Penampilan bintang yang ditandatangani semula Manchester United, Cristiano Ronaldo dilihat memainkan peranan penting dalam kebangkitan dan menyumbang kepada gol kemenangan kelab itu.

Penyerang Portugal itu membantu jentera serangan menerusi jaringan penting dan gerakan menarik sejak menyertai kelab Old Trafford itu.

United melakukan persediaan berdepan Atalanta bagi saingan Liga Juara-Juara pagi Rabu ini selepas mendapat suntikan semangat dengan kemenangan 3-0 ke atas Tottenham dalam saingan Liga Perdana.

Kemenangan yang sekali gus meredakan tekanan kepada pengendalinya Ole Gunnar Solskjaer selepas kekalahan memalukan 5-0 kepada Liverpool.

Ronaldo pastinya bersemangat untuk memulakan perlawanan selepas menamatkan kemarau jaringan menerusi jaringan menarik dan membantu gerakan menghasilkan gol Edinson Cavani untuk gol kedua United.

Penampilan semula ke Liga Perdana cukup memberikan kesan buat Ronaldo ketika menghasilkan empat gol dalam tujuh perlawanan Liga Perdana - kurang separuh daripada jaringan dalam 10 perlawanan dilakukan Mohamed Salah untuk Liverpool.

Ronaldo tampil dengan perwatakan berbeza dalam Liga Juara-Juara dengan meledak dua gol lewat berdepan Villarreal dan Atalanta untuk membawa United ke puncak Kumpulan F.

Di sebalik jaringannya, Ronaldo dikritik kerana kurang membantu barisan pertahanan pasukan yang hanya dua kali mencipta rekod bersih dalam perlawanan apabila tidak melepaskan sebarang jaringan sepanjang musim ini.

Terdapat juga rungutan beberapa rakan sepasukan di kelab terdahulu Juventus yang merasai perkara sama tetapi bekas bintang Real Madrid berkata dia akan membuatkan mereka yang melakukan tuduhan itu berdiam diri.

"Saya tahu bila pasukan memerlukan bantuan saya dari sudut pertahanan." katanya kepada Sky Sports.

"Tetapi tugas saya di kelab adalah memastikan kemenangan, membantu pasukan untuk menang dan menjaringkan gol - (bahagian pertahanan) adalah sebagai daripada tugas saya.

"Mereka tidak melihat perkara itu kerana mereka tidak menyukai saya namun jujur saya berusia 36 tahun, saya memenangi segalanya jadi saya akan merasa bimbang mengenai orang yang bercakap perkara buruk mengenai saya?"

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 11:41 AM