MUELLER (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
MUELLER (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
AFP

Paris: Jerman memerlukan gol lewat permainan Thomas Mueller untuk menewaskan Romania 2-1 manakala Belanda mengatsi Latvia 1-0 hari ini sekali gus berada di landasan tepat untuk layak ke Piala Dunia.

Jerman yang juara dunia empat kali, kini mempunyai kelebihan enam mata di tangga teratas Kumpulan J selepas mencatat kemenangan di Hamburg.

Bagaimanapun, ia satu lagi prestasi tidak konsisten dipamerkan gergasi Eropah itu.

Romania mendahului minit ke-9 selepas pemain sayap Rangers, Hagi berjaya melepasi benteng pertahanan sebelum menewaskan penjaga gol Jerman, Marc-Andre ter Stegen.

Serge Gnabry menyamakan kedudukan menerusi gol peribadi ke-20 sepanjang 30 penampilan antarabangsa pada minit ke-52.

Mueller kemudian masuk sebagai pemain gantian untuk penampilan ke-107 dan mencetak gol peribadi ke-40 di pentas antarabangsa sembilan minit sebelum tamat perlawanan.

"Agak mengecewakan kerana kami dibolosi pada awal permainan tetapi pasukan bangkit dan tidak berputus asa serta beraksi dengan penuh keyakinan," kata jurulatih Jerman, Hansi Flick.

"Pada akhirnya, kemenangan lebih penting kerana kami mendominasi perlawanan ini."

Jerman akan bertemu Macedonia Utara pada Selasa ini dan kemenangan di Skopje akan meletakkan Jerman semakin hampir menempah tiket Piala Dunia.

Sementara itu, jaringan tunggal Davy Klaassen minit ke-19 menyaksikan Belanda meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Latvia 1-0 sekali gus kekal menduduki tangga teratas Kumpulan G.

Mereka mempunyai kelebihan dua gol berbanding Norway yang seri 1-1 dengan pasukan tangga ketiga, Turki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 7:23 AM