RODRIGUEZ akhirnya mengambil keputusan berkelana ke Qatar. FOTO Agensi
RODRIGUEZ akhirnya mengambil keputusan berkelana ke Qatar. FOTO Agensi
AFP

London: Pemain tengah Colombia, James Rodriguez meninggalkan Everton untuk menyertai kelab Qatar, Al Rayyan tanpa menyatakan jumlah perpindahan selepas gagal mendapat tempat di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Tatkala jendela perpindahan masih lagi terbuka di Timur Tengah sehingga hujung bulan ini, Rodriguez dijangka akan ke Qatar hujung minggu ini.

"James Rodriguez meninggalkan Everton untuk menyertai kelab Qatar, Al Rayyan dengan nilai perpindahan yang tidak didedahkan," kata kelab berkenaan dalam satu kenyataan.

Pengurus Everton, Rafael Benitez menyifatkan kepergian Rodriguez sebagai 'situasi istimewa' selepas kekalahan Piala Liga di tangan QPR.

Pemain berusia 30 tahun itu bermula dengan cemerlang di Goodison Park selepas berpindah dari Real Madrid pada 2020.

Bagaimanapun, Carlo Ancelotti yang membimbing Everton sehingga hujung musim lalu, semakin hilang kepercayaan terhadap pemain perancang itu.

Benitez yang masuk menggantikan Ancelotti tidak menggunakan Rodriguez dalam sebarang perlawanan sebelum dia dilepaskan.

Rordriguez yang dilabel sebagai salah seorang pemain berpotensi untuk menjadi bintang ketika di Real, meninggalkan Everton dengan 26 penampilan dan meledak enam gol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 3:08 PM