PAYET (dua kiri) dilihat menjadi mangsa serangan peminat Nice. FOTO AFP
PAYET (dua kiri) dilihat menjadi mangsa serangan peminat Nice. FOTO AFP
AFP

Nice: Perlawanan Ligue 1 membabitkan Nice dan Marseille hari ini dibatalkan selepas penyokong tuan rumah memasuki padang dan menyerang pemain lawan, Dimitri Payet.

Ia selepas Payet bertindak membaling semula botol yang dilemparkan kepadanya ke arah penyokong sebelum berlaku kekecohan membabitkan pemain dan penyokong.

Marseille kemudian enggan meneruskan perlawanan itu dengan pegawai kelab mendakwa keselamatan pemain mereka tidak terjamin.

Insiden bermula di Stadium Allianz Riviera pada minit ke-75 apabila penyerang Marseille, Payet yang dibaling botol plastik setiap kali dia mengambil sepakan penjuru, membalas dengan membalingnya semula ke arah penyokong Nice.

Penyokong yang berang kemudian memasuki padang dan cuba mengancam Payet.

Pemain Marseille, Alvaro Gonzalez dan Matteo Guendouzi kemudian berlari ke tepi padang untuk menenangkan penyokong.

Ketua pasukan Nice, Dante turut cuba menenangkan penyokong yang marah.

Pengadil kemudian meminta kedua-dua pasukan memasuki bilik persalinan.

Lapan minit selepas perlawanan itu tertangguh, Nice yang sedang mendahului menerusi Kasper Dolberg mahu perlawanan itu dimulakan semula.

Bagaimanapun Marseille mahu perlawanan itu dihentikan demi kebaikan.

"Keputusan dilakukan adalah untuk meneruskan perlawanan tetapi Marseille tidak mahukannya," kata Presiden Nice, Jean-Pierre Rivere kepada stesen penyiar Prime Video.

Menurut sumber, pengadil Benoit Bastien juga enggan menyambung semula perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 10:40 AM