AKSI antara Inter dan Benfica pagi tadi. FOTO AFP
AKSI antara Inter dan Benfica pagi tadi. FOTO AFP
Reuters

Lisbon: Inter Milan menjaringkan tiga gol pada separuh masa kedua ketika mereka bangkit daripada ketinggalan 3-0 untuk mencatatkan keputusan seri 3-3 dengan Benfica dalam pertembungan sengit Kumpulan D Liga Juara-Juara tatkala Joao Mario menjaringkan hatrik untuk tuan rumah.

Ia adalah kali pertama Inter bangkit daripada ketinggalan tiga gol dalam Liga Juara-Juara dan perlawanan menentang Benfica menafikan kemenangan pertama tuan rumah ke atas kelab Itali itu selepas tujuh pertemuan dalam pertandingan utama Eropah.

Inter, yang sudah layak ke pusingan 16 terakhir, menyamai 11 mata dengan Real Sociedad, manakala Benfica di tangga terbawah kumpulan dengan satu mata, tiga mata di belakang Salzburg di tangga ketiga.

Inter akan melayan kunjungan Real Sociedad dalam perlawanan terakhir kumpulan mereka pada 13 Disember, perlawanan yang mesti dimenangi oleh pasukan Simone Inzaghi untuk menduduki tempat teratas kumpulan, manakala Benfica berdepan Salzburg dalam perlawanan terakhir mereka dengan tempat Liga Europa masih tersedia untuk direbut.

Benfica memecah kebuntuan selepas lima minit apabila Joao Mario melepakan sepakan selepas Casper Tengstedt menanduk bola untuk bekas pemain Inter itu.

Dia kemudian memanfaatkan hantaran yang gagal dari pertahanan Inter lapan minit kemudian untuk menggandakan jaringan, sebelum melengkapkan hatriknya pada minit ke-34 apabila dia memasukkan bola dari jarak dekat dari hantaran lintang.

Joao Mario menjadi pemain kedua yang menjaringkan hatrik menentang Inter dalam Liga Juara-Juara selepas Gareth Bale mencapai kejayaan itu bersama Tottenham Hotspur pada 2010.

Inter bergelut untuk bangkit dan peluang pertama mereka tiba apabila percubaan Marko Arnautovic dinafikan oleh penjaga gol Benfica, Anatoliy Trubin dalam perlawanan satu lawan satu.

Arnautovic, bagaimanapun, berjaya meledak satu gol untuk Inter enam minit memasuki separuh masa kedua, manakala Davide Frattesi menjaringkan satu lagi gol untuk pasukan pelawat tujuh minit kemudian dengan sepakan voli.

Alexis Sanchez menyempurnakan kebangkitan dari sepakan penalti selepas 72 minit apabila Nicolas Otamendi mengasari Marcus Thuram.

Benfica terpaksa bermain dengan 10 orang pada minit-minit akhir selepas Antonio Silva diperintah keluar pada selepas melakukan terjahan lewat ke atas Nicolo Barella.

Inter kemudiannya hampir meraih kemenangan pada masa kecederaan, tetapi rembatan jarak jauh kencang Barella terkena tiang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 9:59 AM