TERRY (kanan) ketika ketika ditemubual bersempena musim baharu EPL. FOTO Agensi
TERRY (kanan) ketika ketika ditemubual bersempena musim baharu EPL. FOTO Agensi
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kejayaan kelab bola sepak Chelsea menjuarai Piala Super UEFA pada awal pagi tadi menandakan bahawa skuad The Blues sudah bersedia untuk merampas trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada Manchester City musim ini.

Keyakinan itu diluahkan bekas ketua pasukannya, John Terry yang percaya skuad kendalian Thomas Tuchel memiliki cukup ramuan untuk mengulangi pencapaian musim 2017 di mana itulah musim terakhir Chelsea menjulang trofi berkenaan.

Katanya, kemampuan memenangi Piala Super UEFA selepas menewaskan Villarreal menerusi penentuan penalti 6-5 selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar, adalah kejayaan kedua selepas pada Mei lalu menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

"Saya lihat Manchester City adalah pasukan pilihan berdasarkan dengan himpunan pemain terbaiknya. Tapi Chelsea juga mampu melakukan perkara sama dengan komitmen 100 peratus, mempunyai ramai pemain muda yang berbakat selain amat dahagakan trofi.

"Saya rasa Chelsea mampu lakukan musim ini dan beberapa keputusan seperti memenangi Piala Super UEFA bakal dijadikan pembakar semangat buat mereka," katanya ketika ditemubual bersempena musim baharu EPL yang bakal membuka tirainya Sabtu ini.

Terry yang kini berkhidmat sebagai penolong jurulatih di Aston Villa adalah salah seorang legenda Chelsea di mana sepanjang 19 musim beraksi buat kelab itu dia sudah menghadiahkan lima kejuaraan EPL dan lima Piala FA dalam 492 penampilan dengan Chelsea.

Dia turut menjaringkan 41 gol dalam semua pertandingan sepanjang dua dekat dengan kejayaan paling manis apabila membantu pasukan memenangi UCL pada musim 2012.

Tambahnya lagi, kemasukan semula penyerang prolifik, Romel Lukaku bakal menambah sengat di jentera depan pasukan itu.

"Lukaku akan menambah kekuatan kelab di mana permainannya semakin meningkat dari tahun ke tahun. Dia semakin matang dan penghijrahannya dengan beberapa kelab membuatkan dia antara penyerang yang harus diberi perhatian musim ini," katanya.

Chelsea akan membuka kempen musim ini dengan berdepan Crystal Palace di Stamford Bridge pada Sabtu ini, sementara juara bertahan Manchester City akan ke White Hart Lane untuk menentang Tottenham Hotspur, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 5:38 PM