Aksi Ronaldo (kiri) dan Icardi sering menarik perhatian kelab elit Eropah. FOTO Agensi
Aksi Ronaldo (kiri) dan Icardi sering menarik perhatian kelab elit Eropah. FOTO Agensi
Agensi

Turin: Juventus dilaporkan bersedia menawarkan Cristiano Ronaldo kepada Paris Saint Germain (PSG) bagi mendapatkan Mauro Icardi.

Bintang Portugal itu memasuki tahun akhir kontraknya dan berdepan ketidaktentuan mengenai masa depannya di Turin, susulan penyertaan semula ketua jurulatih, Massimiliano Allegri ke kelab berkenaan.

Perjanjian terkini Ronaldo membabitkan sekitar £3.8 juta (RM21.88 juta) sebulan tetapi gergasi Serie A itu mungkin bergelut untuk menawarkan kontrak baharu kepada pemain berusia 36 tahun itu berikutan impak kewangan kerana pandemik Covid-19.

Juventus berdepan risiko kehilangan Ronaldo secara percuma dan menurut L'Equipe, mereka bersedia menawarkan penyerang itu ke PSG sebagai pertukaran dengan Icardi, jika mereka gagal bersetuju dengan syarat dan perjanjian baru.

Icardi sudah lama menjadi pemain impian Juventus dengan kelab Itali itu terlepas untuk mendapatkan tandatangan pemain itu pada musim panas sebelumnya selepas penyerang itu memilih untuk menyertai kelab berpangkalan di Paris itu.

Pemain berusia 28 tahun dan bekas penyerang Inter Milan itu dilihat mampu menjadi prospek jangka panjang Juventus.

Icardi melakukan 28 penampilan dalam semua kejohanan buat PSG musim lalu selain meledak 13 gol dan menghasilkan enam bantuan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 8:14 PM