MAURO ICARDI
MAURO ICARDI

MILAN: Kapten Inter Milan, Mauro Icardi meledak jaringan tunggal ketika memastikan kelab gergasi Itali itu kembali meraih kemenangan ketika menumbangkan Udinese 1-0, awal pagi tadi.

Sebelum pertembungan itu, skuad bimbingan Luciano Spalletti berada dalam keadaan murung selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara dan tunduk kepada Juventus 0-1 dalam saingan domestik di Turin, minggu lalu.

Namun, Icardi berjaya memastikan Inter kembali menikmati kemenangan dengan meledak jaringan pada minit ke-76 di San Siro, selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan Seko Fofano.

Icardi dengan tenang menyempurnakan sepakan itu dengan gaya ‘Panenka' yang menyaksikan bola melambung ke kawasan tengah gol.

Gol itu adalah jaringan kesembilan buat pemain berusia 25 tahun berkenaan pada musim ini dan yang ke-120 buat kelab.

Kemenangan ke atas Udinese itu menyaksikan Inter merapatkan jurang dengan perbezaan tiga mata di belakang pasukan tangga kedua, Napoli dan 11 mata di belakang pendahulu, Juventus.

Pemain Argentina itu juga berjaya meledak gol kedua pada minit ke-89, tetapi disahkan berada dalam kedudukan offsaid.

"Ia adalah petanda baik selepas aksi Selasa lalu," kata Icardi.

"Kekecewaan lalu boleh dimaafkan melalui kemenangan, kami mahu menamatkan aksi pada musim ini dengan sebaik mungkin,"

Sebelum ini, Spalletti berada dalam keadaan cukup tertekan selepas Inter terlepas peluang mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas seri 1-1 menentang PSV Eindhoven. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 9:37 AM