TITE memberikan arahan kepada pemainnya di  Teresopolis, Rio de Janeiro. FOTO AFP
TITE memberikan arahan kepada pemainnya di Teresopolis, Rio de Janeiro. FOTO AFP
Agensi

Rio de Janeiro: Brazil bakal menentang Peru esok dalam aksi Copa Amerika dengan sejarah lebih menyebelahi mereka.

Selepas menjadi penganjur kejohanan pada saat akhir, Brazil memulakan kempen Copa dengan menewaskan Venezuela Isnin lalu.

Perlawanan kedua Kumpulan B menyaksikan tuan rumah melayan Peru yang ditewaskan 3-1 di Rio de Janeiro untuk menjulang trofi pada 2019 di Stadium Maracana.

Manakala Stadium Nilton Santos yang menjadi tumpuan esok dijangka terus memberi tuah kepada Brazil yang menang tujuh perlawanan, dua seri dan hanya sekali kalah dalam 10 pertemuan dengan Peru.

Brazil tidak tewas tujuh perlawanan di Copa America dengan kesemua perlawanan berlangsung di tempat sendiri pada dua edisi terakhir kejohanan.

Kekalahan terakhir mereka di tangan Peru pada 2016 namun Brazil yakin dapat mengekalkan rekod sempurna kali ini.

Dalam sidang akhbarnya semalam, jurulatih Brazil, Tite mengesahkan membuat sekurang-kurangnya satu pertukaran dengan penjaga gol Manchester City Ederson menggantikan Alisson.

"Kami memiliki tiga penjaga gol berkualiti, dua daripada mereka antara yang terbaik di dunia,'' kata Tite.

"Weverton pula cukup tangkas di Libertadores namun dalam perlawanan ini, kami buat keputusan turunkan Ederson."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 8:09 AM