ENRIQUE (kiri) puji aksi tangkas Simon ketika penentuan penalti berdepan Switzerland. FOTO AFP
ENRIQUE (kiri) puji aksi tangkas Simon ketika penentuan penalti berdepan Switzerland. FOTO AFP
Agensi

St Petersburg: Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique mengakui memiliki kepercayaan penuh terhadap penjaga gol, Unai Simon selepas pasukannya mengetepikan Switzerland dalam penentuan penalti untuk mara ke separuh akhir Euro 2020.

Gol sendiri Denis Zakaria meletakkan juara tiga kali itu di depan namun Xherdan Shaqiri menjadikan kedudukan 1-1 pada pertengahan separuh masa kedua.

Selepas Remo Freuler dilayangkan merah Sepanyol yang terlepas beberapa peluang di masa tambahan hanya berjaya mencatat kemenangan 3-1 ketika penentuan penalti.

"Ketika penentuan penalti saya lebih tenang dan ia tidak melemahkan semangat saya.

"Selepas pemain membuat keputusan siapa yang akan mengambilnya kami mula meletakkan harapan kepada Unai dan pengambil sepakan penalti, jadi apa yang anda mampu buat ketika itu ialah tunggu dan lihat.

"Saya memberitahu mereka nikmatilah saat berkenaan sebaik mungkin. Kami tidak bermula dengan baik (sepakan Sergio Busquets terkena tiang) tapi pemain mampu bangkit semula.

"Ramai yang berkata ia bergantung kepada nasib, tapi semuanya ada di situ, kemampuan mengawal tekanan, penjaga gol tapi apabila semuanya berjalan lancar anda akan berasa lega," katanya.

Ditanya adakah beliau memberi kata-kata semangat kepada Simon untuk menjadi wira, Enrique berkata, semua jurulatih sentiasa melakukan perkara itu kepada penjaga gol.

"Saya melihatnya banyak kali menyelamatkan sepakan penalti ketika bersama Athletic Bilbao. Saya cuba memberitahunya untuk memberi tekanan kepada pemain lawan tapi sebenarnya saya tidak kisah dan tetap mempercayainya walaupun apa yang berlaku," katanya.

Enrique berkata, beliau sentiasa menganggap pasukannya sebagai pencabar tapi sekarang mereka sudah berada di separuh akhir dan boleh memikirkan mengenai kejuaraan keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 7:46 AM