SANCHEZ alami kecederaan otot. FOTO Agensi
SANCHEZ alami kecederaan otot. FOTO Agensi
Agensi

Rio de Janeiro: Bintang Inter Milan Alexis Sanchez terpaksa melupakan aksi peringkat kumpulan Copa Amerika selepas mengalami kecederaan ketika sesi latihan Chile.

Penyerang berpengalaman itu tidak akan terbabit dengan perancangan Martin Lasarte pada peringkat awal kejohanan di Brazil itu.

Sanchez tersenarai dalam skuad akhir Lasarte selepas cemerlang membantu Inter menjuarai Serie A pertama mereka dalam tempoh 11 tahun.

Pemain berusia 32 tahun itu menjadi tonggak Chile sepanjang 15 tahun karier antarabangsanya tetapi mereka akan mengharungi saingan kumpulan tanpa Sanchez di Brazil.

Kenyataan rasmi dari kem Chile berkata: "Petugas perubatan kami melaporkan Alexis Sanchez mengalami kecederaan otot ketika menjalani latihan semalam.

"Jangka masa untuk pulih mungkin melepasi saingan kumpulan Copa America 2021. Dia akan terus menjalani rawatan di Chile bersama pasukan perubatan pasukan.''

Ini bermakna Sanchez terlepas aksi getir pembukaan Kumpulan B menentang Argentina pagi esok sebelum menentang Bolivia empat hari kemudian.

Skuad Lasarte akan melengkapkan jadual kumpulan menentang Uruguay dan Paraguay dalam misi mara ke suku akhir dan Sanchez boleh kembali beraksi jika dia kembali cergas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 9:18 AM