Pemain JDT, Safawi Rasid.
Pemain JDT, Safawi Rasid.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Juara Liga Super tujuh kali berturut-turut Johor Darul Ta'zim (JDT) menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa kelab terbabit perlu bertanggungjawab atas aksi hambar tonggak pasukan itu Safawi Rasid.

Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT Alistair Edwards menerusi kenyataannya di Facebook Johor Southern Tiger memaklumkan bahawa pemain berasal dari Dungun, Terengganu itu menunjukkan kemajuan yang baik susulan kecederaan yang dialami sebelum meninggalkan kelab untuk tugasan antarabangsa.

Beliau berkata, mengikut rekod, Safawi mengalami kecederaan pada 13 Mac lalu dan hanya kembali ke kesebelasan utama pada 16 April kemudian namun masih dalam proses pemulihan hingga ke tahap sepenuhnya.

"Secara keseluruhan, Safawi menjaringkan dua gol, melakukan lima permulaan dalam pasukan, tiga kali beraksi daripada bangku simpanan dan bermain 364 minit sebelum 'international break'.

"Untuk mengatakan bahawa intensiti latihan sepenuhnya adalah tanggungjawab kelab tidak tepat kerana kem latihan yang panjang oleh pasukan kebangsaan di mana pemain berada di sana dari 16 Mei hingga 16 Jun lalu.

"Perjalanan pemulihan dan kembali ke intensiti tinggi Safawi masih lagi berjalan sebelum 'international break'," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Safawi hanya kembali ke JDT seminggu sebelum Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan berlepas terus ke Thailand dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Kelab ini akan membimbing Safawi kembali pulih sepenuhnya, sedia untuk bola sepak intensiti tinggi dan membina semula tahap keyakinan beliau dalam beberapa minggu akan datang," katanya.

Sebelum itu, Pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa latihan yang tidak berintensiti tinggi bersama skuad kebangsaan ketika kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menyebabkan persembahan Safawi ketika ini merosot.

Namun, terdapat dakwaan beberapa pihak termasuk pengkritik dan pemerhati bola sepak negara melihat kemerosotan prestasi pemain Harimau Malaya itu harus dipikul oleh kelab bukannya pasukan kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 11:18 PM