SAFAWI tekad bukti kemampuan sebenar pada baki saingan Liga Super.
SAFAWI tekad bukti kemampuan sebenar pada baki saingan Liga Super.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas dikritik hebat ekoran prestasi turun naiknya sebelum ini, bintang bola sepak negara, Safawi Rasid sudah tidak sabar kembali beraksi sebaik saingan Liga Super bersambung pada Sabtu ini.

Safawi, 24, yang mengalami kecederaan di bahagian kaki ketika aksi menentang UiTM FC pada Mac lalu terpaksa diketepikan selama beberapa minggu daripada skuad Johor Darul Ta'zim (JDT).

Akibatnya selepas pulih daripada kecederaan, aksi Safawi tampak tidak selincah sebelum kecederaan hingga dikritik hebat oleh segelintir netizen di laman sosial terutama ketika beraksi bersama skuad Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mei lalu.

Malah, prestasi merudum turut berlaku di Thailand apabila JDT bersaing di Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan Safawi gagal mempamerkan sentuhan berbisanya.

Susulan itu, ramai peminat mengaitkan kemerosotan prestasi itu berpunca daripada kecederaan yang sedikit sebanyak menjejaskan keyakinannya di atas padang.

Bagaimanapun pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa latihan intensiti rendah bersama skuad kebangsaan menjadi antara punca prestasi pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu merosot.

Namun di sebalik kritikan itu, Safawi tidak cepat melatah, malah dia cukup bersemangat untuk kembali bermain sekali gus membantu skuad Harimau Selatan dalam saingan Liga Super.

"Saya sayang kerja saya, jom sambung (saingan Liga Malaysia)," tulisnya di laman Instagram miliknya yang menandakan dia sudah bersedia menyambung kempen liga tempatan yang berhenti selama dua bulan bagi memberi laluan kepada skuad Harimau Malaya dan JDT di ACL.

Berdasarkan jadual perlawanan, JDT akan menerima kunjungan UiTM FC di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad ini, dengan misi utama melakar tiga mata untuk terus memimpin carta Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 9:54 PM