PEMAIN pertahanan Belanda, Denzel Dumfries meraikan golnya ketika membantu mereka menang 2-0 ke atas Austria dalam aksi Kumpulan C, semalam. FOTO AFP
PEMAIN pertahanan Belanda, Denzel Dumfries meraikan golnya ketika membantu mereka menang 2-0 ke atas Austria dalam aksi Kumpulan C, semalam. FOTO AFP
AFP

Amsterdam: Menjelang Euro 2020, jurulatih Belanda, Frank de Boer memutuskan untuk mengubah cara permainan skuad itu yang menimbulkan perdebatan pencinta bola sepak mereka, tetapi pada masa sama mencipta bintang baru pasukan itu.

Denzel Dumfries mencuri tumpuan pada minggu pertama kejohanan apabila menjaringkan gol dalam kedua-dua kemenangan Belanda ke atas Ukraine dan Austria, sekali gus layak ke pusingan kalah mata di tangga teratas Kumpulan C dengan baki satu lagi perlawanan.

Pada ketika De Boer berdepan masalah kecederaan dan kemarau pemain sayap kelas dunia menggantikan Arjen Robben, dia menukar formasi kebiasaan 4-3-3 kepada 3-5-2.

Sebelum aksi dengan Ukraine di Amsterdam, Ahad lalu, sebuah pesawat terbang dengan membawa kain pemidang menggesa Boer tidak membuat rombakan itu.

Tetapi, dia tetap mengubahnya dan Dumfries, yang beraksi sebagai bek dan sayap kanan, mendapat faedah paling besar.

Ketika menentang Ukraine, pemain PSV Eindhoven itu mengumpan untuk dua gol awal pasukannya dan ketika kedudukan terikat 2-2, Dumfries menanduk masuk gol kemenangan di hujung perlawanan.

Semalam pula ketika bertemu Austria di Johan Cruyff Arena, pemain berusia 25 tahun itu mendapatkan sepakan penalti yang disempurnakan Memphis Depay untuk meletakkan mereka di depan.

Dia kemudian menjaringkan gol pada babak kedua dan dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Sebagai sebahagian daripada pemain generasi baharu Belanda diberi kepercayaan bersama skuad senior selepas mereka gagal layak ke Piala Dunia 2018, Dumfries tidak perrnah menjaringkan gol dalam 19 cap sebelum Euro.

Pemain terakhir menjaringkan gol pada dua aksi awal Kejuaraan Eropah bagi Oranje adalah Ruud van Nistelrooy, yang kini sebagai pembantu De Boer.

"Yang penting adalah tiga mata, bukannya prestasi saya," kata Dumfries pada ketika Belanda melangkah ke pusingan kalah mati selepas kembali semula dalam kejohanan utama sejak Piala Dunia 2014.

Bagaimanapun, dia kini menjadi tumpuan dalam skuad De Boer mengatasi beberapa pemain bintang seperti Frenkie de Jong, Memphis Depay dan Matthijs de Ligt.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 9:23 PM