Kapten Switzerland, Granit Xhaka beraksi dalam perlawanan menentang Cameroon. FOTO EPA
Kapten Switzerland, Granit Xhaka beraksi dalam perlawanan menentang Cameroon. FOTO EPA
AFP

Doha: Granit Xhaka berkata Switzerland mampu menewaskan sesiapa saja di Piala Dunia selepas jaringan Breel Embolo memastikan kemenangan 1-0 ke atas Cameroon pada saingan Kumpulan G di Stadium Al Janoub.

Switzerland mara ke pusingan 16 terbaik dalam dua edisi terakhir Piala Dunia tetapi perlu berdepan pasukan pilihan, Brazil untuk aksi kedua sebelum mengakhiri saingan Kumpulan G menentang Serbia.

Skuad yang mara ke suku akhir Euro 2020 selepas menyingkirkan juara dunia, Perancis dan Xhaka merasakan mereka mampu menjadi salah satu pasukan 'kuda hitam' di Qatar.

"Ia bukan kebetulan, apabila anda melihat 10 hingga 12 tahun terakhir kami berada dalam kejohanan utama.

"Pada pandangan saya, Brazil adalah pasukan pilihan bagi kejohanan ini. Kami perlu mengganggu mereka seperti yang kami lakukan pada tahun 2018," kata kapten Switzerland itu.

Switzerland seri 1-1 menentang Brazil dalam perlawanan pertama mereka di Piala Dunia 2018 yang menyaksikan mereka turut menewaskan Serbia 2-1 hasil jaringan Xhaka dan Xherdan Shaqiri.

"Saya fikir Brazil boleh meletakkan tiga pasukan dalam kesebelasan utama. Mereka pasukan yang berbakat besar dan berkualiti.

"Tetapi ia adalah satu perlawanan selama 90 minit. Apa-apa sahaja boleh berlaku. Kami perlu sangat kompak dan tidak membuat kesilapan bodoh kerana anda akan menerima akibatnya.

"Pasukan kami lebih berpengalaman berbanding empat tahun lalu. Kami tidak sabar menantikan perlawanan seterusnya." kata Xhaka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 1:30 AM