GRIEZMANN (kanan) akui Benzema sentiasa mendapat sokongan. FOTO EPA
GRIEZMANN (kanan) akui Benzema sentiasa mendapat sokongan. FOTO EPA
AFP

Budapest: Antoine Griezmann menegaskan Karim Benzema mendapat sokongan penuh dari pemain dan staf kejurulatihan Perancis selepas penyerang Real Madrid itu menjadi tumpuan selepas gagal meledak gol dalam dua aksi pertama Euro 2020.

Perancis bergantung harap kepada gol penyamaan yang disumbang Griezmann untuk mencatat keputusan seri 1-1 menentang Hungary di Budapest semalam.

Juara Piala Dunia 2018 itu menumpaskan Jerman 1-0 dalam perlawanan pembukaan di Munich dan sekarang hanya memerlukan satu mata untuk aksi terakhir berdepan Portugal awal pagi Khamis bagi memastikan tempat ke pusingan kalah mati.

Bagaimanapun ketumpulan Benzema, Griezmann dan Kylian Mbappe menjadi bualan hangat terutama ketika menentang Jerman apabila mereka memperoleh jaringan kemenangan hasil gol sendiri Mats Hummels.

"Dia mahu menjaringkan gol sama seperti saya dan Kylian. Sebagai pemain anda harus berasa rileks dan terbuka.

"Dia adalah sangat penting dalam mencorakkan permainan dan saya pasti apabila dia sudah meledak jaringan, ia akan berterusan.

"Dia sedar mendapat sokongan daripada staf dan pemain. Kami harap dia mampu meledak jaringan selepas ini tapi perkara paling menjengkelkan jika dia tidak mendapat peluang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 1:46 AM