GAMBAR fail Diego Maradona yang diambil pada 2 November 2019. FOTO AFP
GAMBAR fail Diego Maradona yang diambil pada 2 November 2019. FOTO AFP
AFP

San Isidro, Argentina: Koordinator menyediakan jururawat ditugaskan menjaga Diego Maradona di rumahnya menafikan terbabit dalam kematian ikon bola sepak itu, ketika ditemu bual pendakwa raya Argentina, hari ini.

Mariano Perroni, 40, adalah individu ketiga daripada tujuh orang yang disiasat dalam kes kematian yang menggemparkan negara itu dan dunia.

Kapten skuad yang memenangi Piala Dunia pada 1986 itu meninggal dunia kerana serangan jantung ketika berusia 60 tahun, November lalu, beberapa minggu selepas menjalani pembedahan otak kerana darah beku.

"Perroni tidak pernah ke rumah itu dan dia tidak kenal Maradona, dia langsung tiada hubungan dengannya," kata peguam koordinator itu, Miguel Angel Pierri kepada wartawan di luar pejabat pendakwa raya di San Isidro, di pinggir Buenos Aires.

Pihak pendakwa raya membuka siasatan selepas barisan pakar yang menyiasat punca kematian Maradona mendapati dia menerima rawatan tidak mencukupi dan nasibnya terbiar 'untuk tempoh lama dan menyeksakan.'

"Dia adalah koordinator dan tugasnya mengumpul sepasukan jururawat dan memastikan mereka memasuki rumah serta menamatkan syif," kata Pierri mengenai peranan Perroni.

"Doktor yang merawat memberi ubat secara terus."

Temu bual ke atas Perroni dibuat dua hari selepas peguam salah seorang daripada jururawat yang menjaga Maradona memberitahu media bahawa doktor 'membunuh Maradona'.

Dua jururawat, Dahiana Gisela Madrid, 36, dan Ricardo Almiron, 37 – adalah dua orang terakhir yang menyaksikan Maradona masih hidup – pada minggu ini berkata, mereka mengikut arahan doktor yang merawatnya.

Mereka mengakui gagal melakukan pemeriksaan rutin terhadap Maradona sebelum dia meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 2:26 AM