MARADONA meninggal dunia November tahun lalu. FOTO Agensi
MARADONA meninggal dunia November tahun lalu. FOTO Agensi
AFP

Buenos Aires: Doktor peribadi Diego Maradona dan enam pembantunya yang berdepan dakwaan mengabaikan ikon bola sepak dunia itu pada hari-hari terakhirnya, akan berdepan sesi soal siasat oleh pihak pendakwa raya di Argentina.

Ketujuh-tujuh mereka disiasat atas dakwaan membunuh tanpa niat selepas pakar yang melihat kematian Maradona mendapati, legenda itu menerima rawatan yang tidak mencukupi dan ditinggalkan untuk 'tempoh yang panjang dan menyakitkan'.

Maradona meninggal dunia kerana serangan jantung pada November tahun lalu di usia 60 tahun selepas dua minggu menjalani pembedahan otak berikutan terdapat darah beku.

Siasatan itu dibuka selepas mendapat aduan dua daripada lima anak Maradona terhadap doktor Leopoldo Luque yang dikatakan cuai sehingga menyebabkan kesihatan bapa mereka semakin merosot selepas pembedahan.

Seramai 20 panel pakar perubatan bulan lalu yang dipanggil pihak pendakwa raya berkata, rawatan terhadap Maradona dipenuhi dengan 'kekurangan dan penyelewengan'.

Kumpulan panel itu kemudian membuat kesimpulan Maradona mempunyai peluang lebih cerah untuk hidup dengan rawatan lebih baik bersama kemudahan perubatan yang sesuai.

Namun beliau meninggal dunia di rumah sewanya di kawasan kejiranan eksklusif dekat Buenos Aires di mana dia menerima rawatan.

Kesemua tujuh yang didakwa itu tidak dibenarkan untuk meninggalkan Argentina dan berdepan penjara antara lapan hingga 25 tahun jika didapati bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 1:03 PM