David Luiz (dua kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan dalam aksi Liga Perdana Inggeris. FOTO Agensi
David Luiz (dua kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan dalam aksi Liga Perdana Inggeris. FOTO Agensi
AFP

London: Arsenal mengesahkan pemain pertahanan Brazil, David Luiz akan meninggalkan kelab berkenaan apabila tamat kontrak manakala Martin Odegaard, Dani Ceballos dan Mat Ryan juga dijangka akan meninggalkan Stadium Emirates.

Luiz dilaporkan mengambil keputusan untuk tidak menerima tawaran Arsenal bagi kontrak baharu seterusnya menamatkan dua musim di kelab utara London itu.

Bekas pertahanan tengah Chelsea itu bergelut memastikan tempat bersama Gunners sebelum terlepas penamat musim kerana kecederaan.

Luiz, 34, membantu skuad kendalian Mikel Arteta menang Piala FA pada 2020 dan memberikan ucapan penuh emosi kepada rakan sepasukan sebelum perlawanan terakhir Liga Perdana.

"Jika suatu ketika, saya lakukan sesuatu yang buruk kepada anda semua, saya minta maaf namun sebenarnya saya hanya mahu memberikan yang terbaik untuk semua," kata Luiz.

"Saya sentiasa mahu membantu anda semua. Saya rasa anda faham bahawa saya adalah orang yang sentiasa bersama, jadi kegembiraan saya adalah melihat orang lain gembira. Jadi saya cuba yang terbaik."

Penjaga gol Australia, Ryan melakukan tiga penampilan ketika dipinjamkan namun akan kembali ke Brighton.

Pemain Real Madrid, Odegaard dan Ceballos akan kembali ke La Liga selepas berakhir tempoh pinjaman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 7:44 AM