Pemain Croatia, Ivan Perisic (kanan) bersaing dengan pemain Armenia dalam aksi persahabatan. FOTO AFP
Pemain Croatia, Ivan Perisic (kanan) bersaing dengan pemain Armenia dalam aksi persahabatan. FOTO AFP
AFP

Paris: Naib juara Piala Dunia, Croatia terikat 1-1 berdepan Armenia dalam aksi pemanas badan pertama mereka menjelang Euro 2020.

Sayap Inter Milan, Ivan Perisic meledak gol pembukaan pada minit ke-24, dengan skuad kendalian Zlatko Dalic bakal berdepan England, Repulik Czech dan Scotland dalam saingan Euro.

Tapi skuad Armenia yang menerapkan corak bertahan melakukan kejutan apabila berjaya memecah kubu Croatia selepas penyerang kelahiran Colombia, Wbeymar Angulo menyamakan kedudukan pada minit ke-72.

Penyerang Lazio, Vedat Muriqi meledak empat gol termasuk penalti ketika Kosovo membelasah, San Marino, 4-1.

Jiran Kosovo, Macedonia Utara hampir mengejutkan Slovenia selepas pemain tengah Napoli, Elif Elmas menjaringkan gol pembukaan.

Namun tuan rumah dikecewakan ketika Domen Crnigoj menjaringkan gol penyamaan buat Slovenia pada tambahan masa perlawanan.

Macedonia Utara akan bersaing bersama Austria, Belanda dan Ukraine pada kejohanan Euro yang dijadualkan pada 11 Jun-11 Julai ini.

Slovakia, dalam kumpulan E bersama Poland, Sepanyol dan Sweden, terikat 1-1 oleh Bulgaria. Sementara Poland terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 8:08 AM