SAFAWI antara tonggak penting Harimau Malaya. FOTO FB FAM
SAFAWI antara tonggak penting Harimau Malaya. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Adakah benar Safawi Rasid kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama pasukan?

Segala kemungkinan itu disebabkan kelibat Safawi langsung tidak kelihatan ketika skuad Harimau Malaya tumbang 1-4 di tangan Kuwait pada aksi persahabatan tertutup di Dubai, malam semalam.

Sebaliknya pengendali negara, Tan Cheng Hoe mencuba tiga pemain sayap dalam aksi itu dengan menyenaraikan Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid pada babak pertama dan memasukkan Arif Aiman Hanapi di separuh masa kedua.

Jelas ketiadaan Safawi amat dirasai kem negara yang sebelum ini sering menjadi pilihan utama Cheng Hoe untuk menggerakkan bahagian sayap pasukan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum ini.

Malah, daripada lima aksi peringkat Kumpulan G kelayakan itu, Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sudah meledak dua gol di mana kedua-dua gol itu dijaringkan ketika membenam Indonesia 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada November 2019 lalu.

Situasi sukar terbabit sebenarnya turut diakui Safawi pada sidang media secara maya sebelum ini apabila mengakui dirinya bakal menerima saingan sengit daripada tiga tonggak itu.

"Semua pemain yang dipanggil ada tanggungjawab masing masing. Seperti mana untuk persaingan saya di bahagian sayap kanan dan kiri, saya rasa bagus untuk saya, Sumareh, Akhyar dan Arif Aiman bersaing di posisi itu.

"Semua pemain mahukan tempat dalam kesebelasan utama, jadi kita akan memberikan sehabis baik pada sesi latihan. Walaupun Arif Aiman adalah pemain muda, tetapi tidak mustahil untuk dia menyumbang sesuatu kepada pasukan," katanya.

Selepas ini, skuad negara dijadual menentang Bahrain dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa berstatus 'A' di Manama, Jumaat ini.

Kemungkinan kelibat Safawi akan ditagih bagi memperkukuhkan jentera serangan pasukan sebelum memulakan kempen kelayakan bertemu UAE, Vietnam dan Thailand bermula 3 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 6:35 PM