POGBA (kiri) dan Diallo memegang bendera Palestin ketika mengelilingi padang selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
POGBA (kiri) dan Diallo memegang bendera Palestin ketika mengelilingi padang selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

Manchester: Paul Pogba dan rakan sepasukannya di Manchester United, Amad Diallo mengibarkan bendera Palestin di Old Trafford selepas seri 1-1 dengan Fulham, hari ini.

Pemain tengah United itu diberikan bendera berkenaan oleh penyokong ketika mahu mengelilingi stadium sebagai tanda penghargaan kerana ia adalah perlawanan terakhir mereka di halaman sendiri pada musim ini.

Pemenang Piala Dunia itu dan Diallo yang menyaksikan kedua-duanya Muslim, memegang bendera Palestin di depan 10,000 penyokong yang menyaksikan perlawanan berkenaan selepas sekatan terhadap wabak Covid-19 dilonggarkan.

"Ayuh pastikan dunia kita selamat dan bebas daripada keganasan. Doa untuk Palestin," tulis Pogba di Instagram miliknya.

Rejim Zionis Israel terus menyerang Gaza yang menyebabkan kematian 213 orang rakyat Palestin termasuk 61 kanak-kanak dan mencederakan lebih 1,400 orang sejak seminggu lalu ketika berdepan pejuang Hamas, menurut kementerian kesihatan di Gaza.

Beribu orang menyatakan protes untuk menyatakan sokongan kepada Palestin, Sabtu lalu di beberapa bandar besar Eropah termasuk London, Berlin, Madrid dan Paris selepas tindakan tidak berperikemanusiaan Israel.

Pemain Leicester, Hamza Choudhury dan Wesley Fofana sebelum ini menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Chelsea pada final Piala FA.

Choudhury dan Fofana turut dilihat memegang bendera Palestin ketika di atas padang di Wembley.

Pemain tengah Arsenal, Mohamed Elneny menerusi platform media sosialnya juga menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin yang terus ditekan Israel.

"Hati dan jiwa saya sentiasa memberi sokongan kepada Palestin," katanya menerusi akaun Twitter miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 8:39 AM