Pemain TFC,  Faisal Halim (kiri) diasak pemain Penang FC, Muhamad Azwan Aripin pada aksi perlawanan Liga Super  di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
Pemain TFC, Faisal Halim (kiri) diasak pemain Penang FC, Muhamad Azwan Aripin pada aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) gagal untuk berkongsi mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas tumpas 1-4 ke atas Penang FC pada aksi terakhir Liga Super pusingan pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak sebentar tadi.

Dengan kekalahan itu, TFC turun di tempat keempat carta liga dengan mengutip 21 mata manakala Penang FC naik satu anak tangga di kedudukan ketiga dengan 22 mata.

Dalam perlawanan itu, Harimau Kumbang terlebih dahulu memulakan ancaman menerusi sepakan deras Muhamad Azwan Mohd Aripin pada minit kedua perlawanan yang berjaya ditepis keluar penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin.

Ketika skuad Penyu mengatur gerakan untuk memburu jaringan awal, pelawat mendapat sepakan sudut pertama pada minit kelapan yang berjaya disudahkan menerusi tandukan pemain import kelahiran Tajikistan, Sheriddin Boboev hasil sepakan Endrick Dos Santos untuk Harimau Kumbang mendahului 1-0.

Pada minit ke-21 gawang tuan rumah bocor lagi kini giliran Dos Santos mencetak nama sebagai penjaring apabila mudah menolak masuk bola berpunca daripada sepakan sudut Mohammad Amer Azahar yang sebelum itu singgah di kepala Casagrande untuk pasukannya gah mendahului 2-0.

Sedar kerap diasak pasukan pelawat, skuad Penyu mengubah rentak permainan dengan cuba mengasak menerusi bahagian sayap, namun dihampakan kekentalan benteng pertahanan pelawat.

Sepanjang babak pertama hanya dua percubaan tepat diperoleh skuad bimbingan Nafuzi Zain menerusi rembatan padu Faisal Halim pada minit ke-41 yang sedikit tersasar, begitu juga tandukan penyerang utamanya, David Da Silva seminit kemudian yang berjaya ditepis keluar penjaga gol, Tian Keat See.

Bersambung babak kedua, TFC berjaya merapatkan kedudukan 2-1 menerusi sepakan padu Mohamad Hakimi Abdullah dari luar kotak penalti pada minit ke-59.

Bagaimanapun selepas jaringan pertama TFC itu, skuad kendalian Thomas Trucha bagaikan 'dirasuk' apabila berjaya menambah dua lagi jaringan dalam masa empat minit menerusi dua tandukan cantik Casagrande untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Jaringan ketiga hadir pada minit ke-65 manakala gol keempat pada minit ke-68 yang menyaksikan penjaga gol gagal menepis kedua-dua tandukan pemain tinggi lampai kelahiran Brazil itu.

Dua jaringan pantas itu diperolehi lawan adalah hasil kealpaan pertahanan tuan rumah yang dilihat membiarkan pemain Harimau Kumbang memasuki kawasan bahaya pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 12:11 AM