PENGURUS, Manchester United, Solskjaer. FOTO AFP
PENGURUS, Manchester United, Solskjaer. FOTO AFP
Agensi

London: Ole Gunnar Solskjaer memberi amaran kepada barisan pemain Manchester United untuk menjangkakan satu perlawanan yang sukar apabila turun bertemu Villarreal pada final Liga Europa akhir bulan ini.

Solskjaer menyaksikan pasukannya tewas kepada AS Roma 2-3 pada aksi kedua separuh akhir Khamis lalu namun berjaya mara ke final dengan kemenangan agregat 8-5.

Sementara Villarreal mengesahkan tempat selepas menang ke atas Arsenal dengan agregat 2-1 apabila menamatkan perlawanan tanpa jaringan pada perlawanan kedua di Emirates, Khamis lalu.

Manchester United kini menyasarkan untuk cuba memenangi trofi pertama bersama Solskjaer apabila bertemu Villarreal di final nanti.

Solskjaer menjangka satu perlawanan yang sukar berdepan skuad Unai Emery namun berasakan bahawa Red Devils mempunyai peluang besar untuk merangkul kejuaraan dan trofi.

Bercakap selepas perlawanan menentang AS Roma, Solskjaer berkata mengenai Villarreal: "Mereka menewaskan Arsenal, pasukan yang sukar untuk dikalahkan dan mana-mana pasukan yang mara ke final adalah pasukan yang hebat.

"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar tapi kami menantikannya, inilah yang selalu kami mahukan. Beraksi di pentas akhir, perlawanan terakhir musim dan peluang memenangi trofi.

"Kami tewas empat separuh akhir dan akhirnya kami berjaya melepasi halangan itu."

"Kami baru mula menganalisa dan sudah tentu kami sudah melihat mereka sedikit sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 12:47 PM