AKSI Man United dengan Leeds berkesudahan seri tanpa jaringan. FOTO EPA
AKSI Man United dengan Leeds berkesudahan seri tanpa jaringan. FOTO EPA

AFP

London: Manchester United melakar keputusan seri 0-0 dengan Leeds untuk kekal di tangga kedua Liga Perdana.

Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer menewaskan lawan mereka itu 6-2 di Old Trafford, Disember tahun lalu namun kedua-dua pasukan tampak kurang bertenaga serta gagal mempamerkan aksi menarik di Elland Road.

Keputusan itu menyaksikan United kini mengumpul 67 mata daripada 33 perlawanan, ketinggalan 10 mata di belakang pilihan juara, Manchester City namun berkelebihan lapan mata berbanding pasukan tangga ketiga, Leicester.

Solskjaer dilihat merehatkan Paul Pogba dan Edinson Cavani kemungkinan untuk pertembungan separuh akhir pertama Liga Europa bertemu Roma.

Bagaimanapun pelawat jelas tidak mempunyai idea untuk membolosi gawang tuan rumah terutamanya di babak pertama.

"Perlawanan yang seimbang. Anda perlu melakukan persiapan yang terbaik untuk bertemu Leeds.

"Saya rasa kami sudah melakukan tugas itu dengan baik. Kami menang 6-2 pada pertemuan terakhir tetapi hanya menguasai 40 peratus permainan.

"Separuh masa kedua hari ini kami menguasai 60 peratus permainan. Kami mencipta dua atau tiga peluang terbaik dan sepatutnya mampu menghasilkan gol," kata Solskjaer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 11:29 PM