PEMAIN Melaka United, Kumaahran Sathasivam (dua kanan) diasak oleh pemain pertahanan Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, semalam. FOTO Syafeeq Ahmad
PEMAIN Melaka United, Kumaahran Sathasivam (dua kanan) diasak oleh pemain pertahanan Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, semalam. FOTO Syafeeq Ahmad
Nazri Abu Bakar


Melaka: Selepas menewaskan Melaka United (MU) 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat semalam, jurulatih Penang FC, Tomas Trucha kini mula mencongak strategi lebih ampuh apabila berdepan Sabah Jumaat ini.

Baginya, persediaan rapi terus diatur dalam mengasah keupayaan pemainnya menerusi semangat berpasukan dengan inspirasi dan motivasi seperti yang ditampilkan ketika menewaskan Melaka.

Menurutnya, apapun dia amat berterima kasih dengan pemain yang bersungguh-sungguh untuk meraih kemenangan yang amat bermakna terbabit.

Katanya, walaupun menyedari anak buahnya tidak beraksi pada tahap terbaik di penghujung babak kedua selepas diasak hebat lawan yang ketinggalan, namun mereka berjaya menyelesaikan tugasan dengan positif.

"Pemain tampil dengan pergerakan menarik pada 20 minit pertama menerusi kesungguhan tinggi untuk merobek kubu lawan namun kubu kukuh dibina tuan rumah menyebabkan usaha terbabit tidak berhasil.

"Bagaimanapun, kami berjaya menjaringkan dua gol masing-masing pada penghujung babak pertama dan awal masa kedua yang sekali gus memisahkan keputusan perlawanan.

"Apapun Melaka memberi saingan amat sengit dan mereka bermain cemerlang," katanya.

Kemenangan itu, membolehkan pasukan berkenaan mengekalkan aksi cemerlang mereka menerusi tiga kemenangan berturut-turut sekali gus mengumpul 14 mata untuk menduduki tangga ketiga liga setakat ini.

Dua jaringan bekas penyerang Melaka, Anselmo Casagrande pada minit ke-39 dan 48 sudah cukup membuatkan pasukan tuan rumah kecewa walaupun mereka berjaya merapatkan jurang jaringan menerusi pemain gantian, Stefan Nikolic pada minit ke-62 tetapi semuanya sudah terlambat buat pasukan itu untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata.

Sementara itu, jurulatih Melaka Zainal Abidin Hasan berkata,dia sekali lagi mengakui kecewa dengan kekalahan terbabit selepas kecundang di tangan Johor Darul Ta;zim (JDT) minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 1:32 PM