PEMAIN PDRM FC, Mohamad Nabil Ahmad Latpi (kiri) diasak pemain Negeri Sembilan FC, Tommy Mawat Bada pada saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam ini. FOTO Bernama
PEMAIN PDRM FC, Mohamad Nabil Ahmad Latpi (kiri) diasak pemain Negeri Sembilan FC, Tommy Mawat Bada pada saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam ini. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Petaling Jaya: Negeri Sembilan FC (NSCFC) melonjak tiga anak tangga dalam saingan Liga Super selepas berjaya mengalahkan PDRM FC 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebentar tadi.

Anak buah K Devan jelas sekali tidak berdepan masalah untuk membawa pulang tiga mata dan sekarang ini memanjat ke tangga keenam liga hasil kemenangan kali kedua berturut-turut selepa aksi liga bersambung semula.

Saingan di separuh masa pertama menyaksikan PDRM mempunyai deretan peluang namun gagal disudahkan dengan baik oleh Nabil Ahmad Latpi.

Pada minit ke-18 Nabil melepaskan peluang terbaik untuk membuka jaringan buat The Cops namun sepakan susulannya tersasar keluar selepas rembatan Marcus Macauley gagal ditangkap kemas Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Pada minit ke-32 Nabil sekali lagi mendapat peluang keemasan untuk meletakkan PDRM di depan namun rembatannya hasil hantaran lintang Macauley melambung tinggi walaupun hanya berdepan dengan Sikh Izhan Nazrel.

Tersentak dengan beberapa percubaan tuan rumah Negeri Sembilan mula mengatur langkah termasuk hasil rembatan deras Levy Madinda pada minit ke-40 namun tersasar keluar.

Seminit kemudian Negeri Sembilan berjaya berada di depan apabila Shahrel Fikri Md Fauzi berjaya menyempurnakan hantaran jauh Madinda selepas pemain PDRM bergelut untuk mengeluarkan bola di kawasan sendiri.

Sebaik bersambung babak kedua, PDRM cuba untuk mencari gol penyamaan namun barisan pertahanan Negeri Sembilan berjaya menyerap setiap asakan.

Pada minit ke-79 Negeri Sembilan hampir menggandakan jaringan namun peluang yang diperoleh pemain gantian, Mahali Jasuli hasil hantaran A Selvan tidak menemui sasaran.

Usaha berterusan PDRM untuk mencari gol penyamaan akhirnya berhasil apabila Amirul Wa'ie Ya'acob berjaya menyempurnakan hantaran Uche Agba di dalam petak penalti pada minit terakhir permainan.

Ketika PDRM menyangkakan mereka sekurang-kurangnya dapat berkongsi mata dengan pasukan pelawat, Selvan muncul sebagai wira Negeri Sembilan apabila melakukan sepakan voli di depan kotak penalti PDRM pada masa kecederaan dan gagal diselamatkan penjaga gol, Nor Hakeem Hamidun.

Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut Negeri Sembilan selepas Ahad lalu berjaya menumpaskan Kuala Lumpur City FC 2-1 di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 10:30 PM