CHIESA (kiri) cuba melepasi halangan pemain Bulgaria dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022. FOTO AFP
CHIESA (kiri) cuba melepasi halangan pemain Bulgaria dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022. FOTO AFP
AFP

Sofia: Itali mengekalkan kempen kelayakan Piala Dunia di landasan yang tepat selepas berhempas-pulas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Bulgaria dalam perlawanan Kumpulan C.

Andrea Belotti memperoleh gol pertama melalui sepakan penalti sebelum rehat dan Manueal Locatelli mengesahkan kemenangan melalui jaringan pertamanya bersama 'Azzurri' lapan minit sebelum perlawanan tamat.

Pasukan bimbingan Roberto Mancini berada di tangga teratas kumpulan selepas memenangi perlawanan pembukaan 2-0 ke atas Ireland Utara di Parma, manakala ketika itu Bulgaria tewas 1-3 kepada Switzerland.

Juara dunia empat kali itu gagal melayakkan diri di Piala Dunia 2018 namun di bawah Mancini mereka berjaya mengekalkan aksi 24 perlawanan tanpa kalah selepas persembahan sempurna di kelayakan Euro 2020.

"Tidak ada perlawanan mudah. Terutama berdepan pasukan seperti Bulgaria yang sentiasa bertahan dan menunggu untuk melakukan serangan balas.

"Ia sangat jelas kami tidak diberikan ruang dan sangat sukar untuk memecah kebuntuan. Kemenangan adalah sangat penting, pasukan ini menunjukkan aksi konsisten. Buat masa sekarang semua pasukan dalam keletihan," kata bekas pengendali Manchester City itu.

Itali beraksi tanpa pertahanan Giorgio Chiellini dengan penyerang, Domenico Berardi dan Franncesco Caputo juga tidak dapat beraksi.

Ketua pasukan Torino, Belotti beraksi dalam kesebelasan utama bersama penyerang Juventus, Federico Chiesa.

Di bahagian tengah pula menyaksikan kembalinya pemain Inter Milan, Nicolo Barella dan Stefano Sensi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 11:23 AM