PEMAIN Real Madrid meraih tonik terbaik sebelum beraksi di Liga Juara-Juara selepas mengalahkan Valencia 2-0. FOTO AFP
PEMAIN Real Madrid meraih tonik terbaik sebelum beraksi di Liga Juara-Juara selepas mengalahkan Valencia 2-0. FOTO AFP
AFP

Madrid: Real Madrid menemui semula rentak mereka sebelum beraksi di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara, selepas menang 2-0 ke atas Valencia awal pagi tadi seterusnya meletakkan mereka di bawah pendahulu La Liga, Atletico Madrid.

Valencia turut beraksi dalam 16 akhir saingan Liga Juara-Juara musim lalu namun kejatuhan mereka daripada status pasukan elit memberi peluang buat pasukan bimbingan Zinedine Zidane mencatat kemenangan di Stadium Alfredo di Stefano.

Karim Benzema dan Toni Kross meletakkan Madrid di depan pada separuh masa pertama, manakala gol ketiga pertahanan kiri Ferland Mendy dibatalkan kerana ofsaid.

Selepas berada dalam keadaan selesa, Zidane mengeluarkan pemain tonggak pada separuh masa kedua.

Valencia tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda untuk bangkit, di mana mereka hanya mempamerkan permainan mendatar dan seakan menerima kekalahan yang menyaksikan mereka hanya dibezakan tiga mata di atas zon penyingkiran.

Harapan Madrid untuk mempertahankan kejuaraan dilihat berakhir selepas kalah kepada Levante hujung bulan lalu namun tiga kemenangan selepas itu menyaksikan mereka masih mempunyai harapan melakukan kebangkitan.

Atletico kekal dengan kelebihan lima mata di tangga teratas dan kurang dua perlawanan, di mana ia akan menjadi senjata buat pasukan bimbingan Diego Simeone bagi perebutan kejuaraan liga.

Setidak-tidaknya Madrid sudah mendapat rentak dan jika untuk mempertahankan kejuaraan La Liga sangat sukar, mereka masih ada lagi trofi yang harus difokuskan, iaitu Liga Juara-Juara.

Atalanta akan memberikan ujian yang sukar dalam aksi 16 akhir dan Zidane mungkin sedikit kecewa selepas 25 minit perlawanan berlangsung, Dani Carvjal mengalami kecederaan pangkal paha.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 9:38 AM