SHEIKH Joaan (kanan) dilihat tidak melakukan ‘fist bump’ dengan pengadil wanita. FOTO Agensi
SHEIKH Joaan (kanan) dilihat tidak melakukan ‘fist bump’ dengan pengadil wanita. FOTO Agensi
Agensi

Al-Rayyan: Seorang kerabat Diraja Qatar enggan melakukan sentuhan 'fist bump' dengan dua pengadil wanita pada majlis penyampaian hadiah final Piala Dunia Kelab FIFA.

Sheikh Joaan Hamad Al Thani dilihat mengelak untuk melakukan 'fist bump' dengan pengadil, Edina Alves Batista dan Neuza Back.

Gergasi Jerman, Bayern Munich menewaskan wakil Mexico, Tigres 1-0, Khamis lalu untuk memenangi trofi berkenaan.

Selepas tamat perlawanan, kerabat Diraja itu bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Sheikh Joaan dilihat melakukan 'fist bump' dengan pengadil lelaki serta barisan pemain namun mengelak untuk melakukan perkara sama terhadap dua pengadil wanita itu.

Batista dan Back dilaporkan sudah dimaklumkan lebih awal untuk terus melepasi kerabat Diraja itu tanpa perlu melakukan 'fist bump'.

Ini kerana, Sheikh Joaan menjaga kelakuannya sebagai seorang beragama Islam yang dilarang menyentuh wanita yang bukan mahram.

Sheikh Joaan adalah adik bongsu kepada pemerintah Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani yang juga Presiden Jawatankuasa Olimpik Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 10:33 PM