ROBERTSON kekal bersama Livepool hingga 2024. FOTO/AGENSI
ROBERTSON kekal bersama Livepool hingga 2024. FOTO/AGENSI
AFP

LONDON: Kapten Scotland Andy Robertson menandatangani kontrak baharu jangka panjang bersama Liverpool sehingga 2024.

Bek kiri yang berpindah dari Hull City pada Julai 2017, antara tonggak skuad Liverpool yang mara ke final Liga Juara-Juara musim lalu dan kini mendahului Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan empat mata ke atas pesaing terdekat, Manchester City.

“Sebaik saja kelab berjumpa saya, mudah untuk saya membuat keputusan. Saya mahu kekal di sini, jadi apabila mereka membuat tawaran saya terus tandatangan,” kata Robertson.

“Ia kontrak yang mudah bagi saya dan saya pasti untuk kelab juga. Kami mencapai persetujuan dengan cepat sekali.”

Robertson mengikut jejak rakan sepasukan selepas Roberto Firmino, Mohamed Salah, Sadio Mane dan Joe Gomez turut menandatangani kontrak baharu mereka tahun lalu untuk kekal di Anfield.

Pemain 24 tahun itu memainkan peranan penting dalam memperkasakan pertahanan Liverpool yang menjadi pemangkin kepada kejayaan anak buah Jurgen Klopp mendahului juara bertahan City dalam perebutan kejuaraan.

Liverpool sudah 29 tahun kemarau kejuaraan liga dan Robertson sedar tekanan semakin memuncak ke atas pasukannya untuk menjulang sama ada trofi Liga Perdana atau Liga Juara-Juara musim ini.

“Kelab ini ketandusan trofi dan sudah lama ia berlalu tanpa sebarang kilauan trofi.

“Jadi saya harap mampu membantu menjulang beberapa trofi bersama kelab ini dan cuba menghala ke arah itu kerana penyokong dan kelab juga mahukannya, itu sasaran kami,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 8:09 AM