LUIZ (dua dari kiri) dikatakan mengasari Willian Jose di dalam petak penalti sehingga dilayangkan kad merah. FOTO EPA
LUIZ (dua dari kiri) dikatakan mengasari Willian Jose di dalam petak penalti sehingga dilayangkan kad merah. FOTO EPA
Agensi

London: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mempersoalkan keputusan pengadil, Craig Pawson melayangkan kad merah kepada David Luiz selepas Arsenal terpaksa beraksi dengan sembilan pemain ketika kalah 1-2 kepada Wolves.

Jaringan cantik Joao Moutinho membolehkan Wolves mencatat kemenangan, manakala Gunners pula kalah buat kali pertama selepas tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain tengah itu melepaskan rembatan dari jarak 27 meter untuk mengesahkan kemenangan pasukan tuan rumah dengan dibantu dua layangan kad merah kepada pemain The Gunners.

Bagaimanapun, pasukan pelawat mengawal permainan pada babak pertama dengan memperoleh gol pembukaan melalui Nicolas Pepe.

Mereka juga hampir memperoleh gol awal selepas percubaan Bukayo Saka mengenai tiang dan satu gol tidak dikira selepas dibatalkan melalui Video Bantuan Pengadil (VAR).

Pada masa kecederaan separuh masa pertama semuanya yang indah menjadi suram buat Arsenal apabila Ruben Neves menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti selepas David Luiz diperintah keluar padang kerana menjatuhkan Willian Jose.

Arteta tidak dapat menyembunyikan kemarahannya di atas keputusan yang dikenakan terhadap Luiz.

"Saya sememangnya bangga dengan cara pasukan saya beraksi kerana saya rasa mereka sangat luar biasa.

"Pada separuh masa pertama, kami sepatutnya mendahului tiga atau empat kosong namun berakhir dengan keputusan 1-1 dan kehilangan seorang pemain.

"Mengenai keputusan itu (kad merah), saya sudah melihat dari sudut berlainan dan 10 kali, saya tidak dapat memberitahu anda bagaimana David menyentuh pemain lawan.

"Saya tidak melihat sebarang kontak dan ini bermakna VAR mempunyai sudut lain dan mereka dapat melihat sesuatu, saya teringin sangat hendak melihat di bahagian mana kontak berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 9:26 AM