WEBB sahkan keputusan VAR tepat - FOTO AFP
WEBB sahkan keputusan VAR tepat - FOTO AFP
Agensi

London: Kebocoran audio VAR ketika Newcastle menang ke atas Arsenal awal bulan ini mendedahkan mengapa Bruno Guimaraes tidak dilayangkan kad merah walaupun merempuh Jorginho dengan sikunya.

Ia jelas menunjukkan Mikel Arteta melakukan kesilapan apabila menyalahkan pengadil selepas kekalahan kontroversi Arsenal di Newcastle.

Perlawanan di St James Park mencetus pelbagai insiden kontroversi membabitkan Anthony Gordon yang meminta pemeriksaan VAR terhadap tiga pelanggaran berbeza manakala kedua-dua Guimaraes dan Kai Havertz mungkin kelihatan perlu diberi kad merah.

Gordon adalah subjek tumpuan utama pada program Match Officials Mic'd Up, dengan audio daripada semakan VAR yang lengkap dikeluarkan untuk menunjukkan mengapa gol itu dibenarkan.

Ketua pengadil, Howard Webb berkata selepas meneliti tiga insiden yang menjurus kepada jaringan Gordon, Webb merumuskan pengadil melakukan keputusan tepat.

Pengendali The Gunners, itu berkata, dia rasa malu dan loya apabila gol kemenangan Athony Gordon pada awal bulan ini dibenarkan - sesuatu yang memalukan.

"VAR meneliti secara terperinci dan mengenal pasti tiada sebab jelas untuk membatalkan gol berkenaan. Proses dilakukan sebenarnya tepat," kata Webb.

Antara keputusan yang dikritik ialah kekasaran Joelinton ke atas Gabriel Martinelli sebelum Gordon menjaringkan gol. Menurut Webb, ia mungkin satu kekasaran tetapi VAR mendapati tiada bukti jelas daripada rakaman untuk mengubah keputusan.

Sementara itu, berkenaan tempoh panjang diambil VAR dalam membuat keputusan, Webb berpendapat belum masanya untuk membawa masuk teknologi ofsaid ke Liga Perdana Inggeris.

"Kita sedang melakukan ujian di belakang tabir dan menilai pertandingan lain. Kami akan membuat keputusan yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 10:27 AM