Neymar (kanan) cuba melepasi kawalan Marcel Sabitzer. FOTO AFP
Neymar (kanan) cuba melepasi kawalan Marcel Sabitzer. FOTO AFP
AFP

Paris: Paris Saint-Germain akhirnya menemui sentuhan kemenangan selepas Neymar berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk menundukkan RB Leipzig 1-0 dan kembali menghidupkan peluang dalam saingan Liga Juara-Juara.

Naib juara musim lalu tewas dua dari tiga perlawanan pembukaan Kumpulan H dan akan terkeluar daripada saingan sekiranya tewas sekali lagi kepada pasukan dari Jerman itu dalam aksi di Parc des Princes.

Jaringan Neymar minit ke-11 sudah cukup menghidupkan peluang PSG yang bergelut dengan kecederaan dan penggantungan ketika Leipzig gagal memanfaatkan peluang terhidang.

"Kami adalah pasukan yang berdepan dengan saat yang sukar berjaya bertahan dan melakukan tugas dengan baik. Sekali lagi kami berjaya membuktikannya," kata kapten Marquinhos.

PSG dan Leipzig kini berkongsi enam mata dengan berbaki dua perlawanan manakala Manchester United tiga mata mendahului selepas melakarkan kemenangan mudah 4-1 ke atas Istanbul Basaksehir.

Skuad Thomas Tuchel selepas ini akan berkunjung ke Old Trafford perlu menang jika ingin mara ke pusingan seterusnya.

Mereka sebelum ini menyingkirkan Leipzig di separuh akhir musim lalu di Lisbon pada Ogos namun tewas pada pertembungan terakhir dengan skuad Julian Nagelsmann terlebih dahulu mendahului.

"Ada banyak perkara yang mungkin tidak diketahui orang," tegas Marquinhos, apabila PSG kini bergelut dengan kecederaan, penggantungan dan jangkitan Covid-19 sepanjang musim.

"Saya rasa kami tidak mempunyai cara lain untuk membuat penampilan luar biasa tapi yang penting adalah kemenangan."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 9:37 AM