BEREGU lelaki negara, Aaron Chia (kanan) dan Sooh Wooi Yik ketika bertemu beregu England Lane Ben - Vendy Sean di separuh akhir di Sukan Komanwel Birmingham 2022. FOTO ASWADI ALIAS.
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia (kanan) dan Sooh Wooi Yik ketika bertemu beregu England Lane Ben - Vendy Sean di separuh akhir di Sukan Komanwel Birmingham 2022. FOTO ASWADI ALIAS.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia tidak mahu lagi berdepan kekecewaan kandas di separuh akhir terutama di Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun bermula 22 hingga 28 Ogos ini.

Baginya yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik, sudah cukuplah kekecewaan dialami mereka sebelum ini apabila tewas enam kali di peringkat sama pada tahun ini termasuk di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Pasangan nombor enam dunia itu yang diletakkan selaku pilihan untuk memenangi pingat emas di Birmingham 2022, kecundang di separuh akhir kepada wakil England, Ben Lane-Sean Vendy dan menamatkan kempen dengan meraih pingat gangsa selepas menewaskan rakan senegara, Chan Peng Soon-Tan Kian Meng.

"Saya pun sukar untuk bercakap mengenai perkara ini, tetapi saya sangat berharap kami dapat mengatasi masalah ini apabila beraksi di Kejohanan Dunia.

"Kami akan berusaha mencari jalan bagi mengatasi masalah ini selepas banyak kali mara ke separuh akhir tetapi sering tewas di peringkat itu.

"Di Sukan Komanwel, kami bermain dengan baik dalam acara berpasukan campuran (Malaysia memenangi pingat emas), tetapi sekali lagi tewas di separuh akhir saingan individu.

"Sudah pasti kecewa kerana kami meletakkan sasaran untuk memenangi emas," kata Aaron.

Cabaran di Kejohanan Badminton Dunia menyaksikan Aaron-Wooi Yik mendapat bye di pusingan pertama sebelum diramal bertemu pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han di pusingan kedua.

Andai melepasi cabaran itu, Aaron-Wooi yang memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dijangka bertemu rakan senegara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei di pusingan ketiga.

"Kalau tengok undian, memang ada peluang tinggi untuk meraih pingat. Cuma, seperti saya katakan, kami perlu cari jalan mengatasi masalah tewas di separuh akhir.

"Kalau kami boleh lakukannya, saya percaya kami boleh mencipta kejayaan," kata Aaron.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 6:38 PM