PENG Soon (kiri) dan Liu Ying antara yang bakal beraksi di Tokyo. FOTO Bernama
PENG Soon (kiri) dan Liu Ying antara yang bakal beraksi di Tokyo. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Laluan mudah atau berliku bukan perkara penting apabila setiap wakil negara perlu mempamerkan prestasi sebenar dengan mengharungi setiap rintangan untuk ke peringkat seterusnya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, walaupun menerima perkhabaran laluan perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia dalam saingan peringkat kumpulan nampak mudah namun harus diingatkan jika tersilap langkah boleh menjerat pemain terbabit.

Katanya, ketika ini setiap pemain badminton perlu melepasi halangan peringkat kumpulan terlebih dahulu untuk menempatkan diri ke pusingan kalah mati.

"Saya nampak dalam keadaan apa sekali pun segalanya boleh berlaku…mereka perlu lakukan yang terbaik dan jangan ada (pemain badminton) berdepan dengan kumpulan sukar sekali gus peluang akan malap.

"Pada saya lepaskan dalam kumpulan dahulu untuk melangkah ke pusingan kalah mati. Bukan hanya untuk Chan Peng Soon-Goh Liu Ying namun juga bagi Zii Jia yang akan berdepan pemain daripada Perancis tapi individu itu pernah tewaskannya," katanya ketika ditemui selepas lawatan ke kem gimnastik negara di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.

Terdahulu Zii Jia yang juga juara Seluruh England diletak sebagai pilihan kesembilan diundi bersama pemain Perancis, Brice Leverdez dan Artem Pochtarov dari Ukraine.

Berdasarkan rekod pertemuan, Zii Jia yang menjadi sandaran negara meraih pingat di temasya berprestij itu terikat 1-1 menentang Leverdez yang juga pemain ke-36 dunia dengan pertemuan terakhir dimenangi Leverdez di Thailand Masters 2019.

Rekod pertemuan Zii Jia menentang Pochtarov juga terikat 1-1 dengan kali terakhir dia menentang pemain ranking ke-98 dunia itu, kedua-duanya pada 2017.

Dalam acara beregu lelaki pula, pasangan negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik diundi dalam Kumpulan D bersama-sama pilihan kedua dari Indonesia, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan.

Turut diundi dalam kumpulan itu ialah Choi Solgyu-Seo Seungjae (Korea Selatan) dan Jason Anthony Ho-Nyi Yakura dari Kanada.

Pemenang pingat perak beregu campuran Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula akan mendapat tentangan pasangan China yang juga pilihan kedua, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dalam Kumpulan D.

Turut diundi dalam kumpulan itu ialah Tan Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong dan Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich (Jerman).

Wakil perseorangan wanita pula, Soniia Cheah diundi dalam Kumpulan N bersama Ratchanok Intanon dari Thailand dan Laura Sarosi (Hungary).

Pertandingan badminton akan bermula pada 24 Julai hingga 2 Ogos di Musashino Forest Sport Plaza.

Olimpik Tokyo akan membuka tirai bermula dari 23 Julai hingga 8 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 10:25 PM