JUN Hao lepasi halangan pertama di Singapura. FOTO ASYRAF HAMZAH
JUN Hao lepasi halangan pertama di Singapura. FOTO ASYRAF HAMZAH
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berharap dirinya dapat mempamerkan prestasi konsisten dalam setiap perlawanan dan capai sekurang-kurangnya satu kejuaraan pada tahun 2024.

Jelasnya, dia dapat merasakan persembahannya semakin positif dan perlu meneruskan momentum itu terutama pada kejohanan besar agar ia boleh menepatkan diri dalam kelompok pemain terbaik dunia sekali gus dapat berada di ranking lebih baik dari sekarang.

"Saya rasa ini satu pencapaian bagi saya dan satu permulaan yang baru dekat kejohanan yang lebih besar, 750 atau 1,000. Di sini saya cuba lebih baik satu-satu untuk dapatkan apa yang saya mahu.

"Bagi saya, setiap kejohanan dibuat dengan baik. Sebelum ini ada up and down dan sekarang lebih banyak kejohanan dan ia lebih besar. Jadi, bagi saya, dalam tahun ini sampai akhirnya boleh mencapai satu kemenangan (kejuaraan) atau dari segi ranking boleh naik sampai ke 25 dan ke bawah," katanya.

Terdahulu, Jun Hao bermula langkah kanan di Terbuka Singapura apabila menewaskan pemain Jepun, Kanta Tsuneyama di pusingan pertama dengan kemenangan straight set 21-13, 21-16.

Meskipun wakil negara itu berada di ranking ke-36 dunia namun itu bukan halangan untuk dirinya mempamerkan corak permainan konsisten untuk menewaskan pemain ranking ke-25 dunia itu dalam masa 45 minit.

"Saya rasa permainan hari ini lebih baik bagi saya dan apa yang saya rancangkan untuk bermain ia menjadi. Dia seorang pemain yang baik dan permainannya lebih ke rali. Tapi di sini lebih angin, jadi bersedia untuk kurangkan rally dengan dia," kata Jun Hao.

Di pusingan kedua pada Khamis ini, Jun Hao akan bertemu pemenang antara pemain profesional negara, Lee Zii Jia atau pilihan ketujuh kejohanan, Anthony Sinisuka Ginting yang turun di pusingan pertama esok (hari ini print).

Sementara itu, beregu lelaki negara, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han straight set 21-18, 21-13 dalam permainan 46 minit.

Menanti mereka nanti adalah wakil China yang juga pilihan ke lapan, Liu Yu Chen-Qu Xuan Yi selepas mengetepikan pasangan adik-beradik dari Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov 25-23, 21-10 dalam satu lagi perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 3:17 PM