JUN HAO muncul juara baharu Kebangsaan. -FOTO Fathil Asri
JUN HAO muncul juara baharu Kebangsaan. -FOTO Fathil Asri
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Juara baharu Kejohanan Kebangsaan, Leong Jun Hao yakin mampu mengejar dua lagi pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong dengan syarat dia terus menunjukkan peningkatan prestasi secara konsisten.

Menurut pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, sasarannya selepas ini adalah untuk menembusi kelompok 32 terbaik dunia bagi melayakkan diri beraksi dalam kejohanan antarabangsa yang lebih besar.

"Sasaran awal saya tahun ini adalah untuk berada dalam kelompok 50 terbaik dunia dan saya hampir mencapainya. Saya berharap menjelang akhir tahun ini, saya boleh berada dalam kelompok 32 terbaik dunia supaya saya dapat sertai kejohanan yang lebih besar," kata Jun Hao.

Semalam, bekas juara remaja Asia itu dinobatkan selaku juara kebangsaan buat kali pertama selepas menewaskan rakan sepasukan, Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar 21-16, 21-13 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara.

Ujar Jun Hao, setakat ini masih ada jurang antara dia dengan Zii Jia dan Tze Yong, disebabkan rakan senegaranya itu sudah banyak beraksi dalam kejohanan yang lebih besar.

"Apabila anda banyak beraksi dalam kejohanan yang besar, ia akan membantu anda untuk meningkatkan prestasi dan konsistensi.

"Sebab itu, saya perlu berusaha untuk berada dalam kelompok 32 terbaik dunia bagi menyertai kejohanan yang besar," katanya yang ketika ini berada di ranking ke-54 dunia.

Zii Jia kekal sebagai pemain perseorangan lelaki nombor satu negara apabila berada di kedudukan ranking ke-16 dunia diikuti Tze Yong ke-21.

Jun Hao selepas ini akan mengalihkan fokusnya bagi menghadapi saingan Terbuka Korea yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 23 Julai ini.

Bagaimanapun, dia berdepan tugas mencabar apabila diundi bertemu bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew pada aksi pusingan pertama.

"Saya teruja untuk menentang Kean Yew, sudah tentu saya akan cuba berikan tentangan sengit dan buat yang terbaik dalam perlawanan itu nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 12:55 PM