BUSANAN catat kemenangan penuh dramatik ke atas China. FOTO/FAIL
BUSANAN catat kemenangan penuh dramatik ke atas China. FOTO/FAIL
Daripada Fabian Peter di Bangkok


DARIPADA pemenang pingat emas Sukan SEA hingga menjadi wira negara!

Itu yang boleh digambarkan apabila Busanan Ongbamrungphan meraih mata terakhir buat pasukan dan membenarkan Thailand mara ke final Piala Uber buat kali pertama dalam sejarah.

Malah, kemenangan tuan rumah itu muncul penuh bergaya, menewaskan juara 14 kali dan penyandang juara China 3-2 bagi mencapai impian mereka sebelum ini.

Kejayaan itu juga yang pertama sejak 1984 China gagal melangkah ke final Piala Uber dan juga pertama sejak ketiadaan bekas ketua jurulatih mereka, Li Yongbo.

“Bagaikan mimpi menjadi kenyataan, bukan saja buat saya tapi juga seluruh pasukan apabila dapat menewaskan China untuk melangkah ke final Piala Uber di depan penyokong sendiri,” kata Busanan yang menumpaskan bekas pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Li Xuerui 21-11, 21-9 pada perlawanan penentuan.

“Ketika saya duduk di belakang dan melihat rakan sepasukan bermain, saya dapat menyaksikan mereka memberikan sebaik mungkin.

“Saya tahu apabila saya memasuki gelanggang, saya perlu memberikan yang terbaik juga. Untuk menewaskan seseorang seperti Li Xuerui bukanlah sesuatu perkara biasa, ia luar biasa,” kata Busanan.

Bekas juara dunia dan juga ratu badminton Thailand, Ratchanok Intanon memberikan kemenangan pertama buat pasukan apabila menewaskan pemain nombor lima dunia, Chen Yufei 15-21, 21-9, 21-14.

Beregu wanita nombor satu dunia Chen Qingchen-Jia Yifan kemudiannya menyamakan kedudukan buat China apabila menang 21-17, 22-20 ke atas Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.

Thailand kemudiannya mengambil semula status pendahulu menerusi Nitchaon Jindapol yang menewaskan Gao Fangjie 19-21, 21-19, 21-12 sebelum China menyamakan kembali kedudukan apabila Huang Yaqiong-Tan Jinhua mengalahkan Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai 24-26, 21-17, 21-18.

Busanan yang meraih pingat emas Sukan SEA Singapura 2015 kemudiannya mencetus kemenangan bersejarah buat Negara Gajah Putih apabila menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik London 2012, Xuerui.

Thailand akan bertemu pilihan utama Jepun yang menewaskan Korea Selatan 3-1 pada final esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 9:56 PM