MICHELLE berharap pemain, jurulatih dan pegawai bukan BAM terus berlatih di ABM. FOTO Bernama
MICHELLE berharap pemain, jurulatih dan pegawai bukan BAM terus berlatih di ABM. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengarah Pentadbiran Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Michelle Chai menegaskan ada sebab mengapa pemain bukan profesional tidak boleh memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu jika mahu menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Jelasnya, BAM perlu menghormati kerjasama bersama penaja utama badan induk itu dan kegagalan berbuat demikian akan dilihat sebagai pelanggaran kontrak yang sekali gus boleh menjejaskan pemain pada masa depan.

"Pemain, jurulatih dan pegawai bukan BAM bebas menggunakan raket dan kasut daripada jenama penaja mereka sendiri. Bagaimanapun, kami meminta agar mereka memastikan pakaian mereka bebas daripada jenama pesaing (di BAM).

"Prinsip yang sama digunakan apabila pemain hadir bersama-sama untuk acara berpasukan," katanya.

Jelas Michelle, pihaknya amat menghargai peluang menjalani latihan bersama-sama antara pemain BAM dan pemain profesional, malah ada pemain yang sedia mengikuti peraturan berkenaan.

"Sebagai badan induk, kami mempunyai tanggungjawab kepada pemain, jurulatih dan pegawai (baik BAM dan bukan BAM) serta kepada rakan kongsi kami yang dapat merealisasikan impian setiap pemain.

"Kami berharap pemain, jurulatih dan pegawai bukan BAM terus berlatih di ABM seperti yang dilakukan bersama-sama (Soong) Joo Ven, Cheam (June Wei) dan jurulatih Nova (Armada). Kami amat berterima kasih dan menghargainya kerana mereka memahaminya," katanya.

Pengarah Kejurulatihan Team Lee Zii Jia (LZJ), Wong Tat Meng menerusi laporan Arena Metro semalam kesal dengan BAM yang mewajibkan pemain profesional tidak boleh memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu jika mahu menjalani latihan di ABM dekat Bukit Kiara.

Beliau mengakui sangat terkejut dengan peraturan berkenaan apatah lagi ia dikuatkuasakan ketika mereka dalam persiapan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark yang akan berlangsung dari 21 hingga 27 Ogos ini.

Jelasnya, apabila BAM menegaskan perkara itu ketika membuat persiapan untuk pertandingan besar, beliau secara peribadi berasakan ia seperti dibuli oleh orang besar.

BAM ketika ini ditaja oleh syarikat peralatan sukan terkemuka, Yonex manakala Zii Jia menandatangani kontrak penajaan bersama Victor selepas dia meninggalkan badan induk itu untuk bergerak secara profesional pada awal tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 3:26 PM