WOOI Yik (kanan) dan Aaron sandaran utama di Sukan Olimpik Paris. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
WOOI Yik (kanan) dan Aaron sandaran utama di Sukan Olimpik Paris. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Berdasarkan keputusan yang dicapai oleh beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tampaknya tugas mereka dalam misi untuk meraih emas di temasya Olimpik Paris 2024 tidak mudah.

Mereka hanya mempunyai tempoh empat bulan saja lagi untuk memperbaiki prestasi dan berada di kemuncak apabila Olimpik Paris membuka tirainya dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Terdahulu langkah mereka di Terbuka Perancis terhenti di suku akhir apabila menamatkan saingan Jelajah Dunia Super 750 selepas tewas 19-21, 16-21 kepada beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae kelmarin.

Namun mereka masih menjadi wakil terbaik negara di kejohanan itu selepas selebihnya tersingkir seawal pusingan pertama dan kedua.

Wooi Yik mengakui, mereka perlu bangkit dan belajar daripada kekalahan supaya dapat mengejar beregu lawan yang lain.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu boleh dianggap sebagai pemain negara paling menyerlah musim ini apabila dua kali melangkah ke suku akhir iaitu di Terbuka Malaysia dan Terbuka Perancis selain mara ke separuh akhir Terbuka India.

Ia adalah penting untuk mencapai prestasi di tahap optimum di Paris nanti.

"Kami belajar sesuatu daripada kekalahan ini. Sangat penting untuk kami menganalisa kekuatan lawan.

"Tempoh tiga bulan terakhir ini sangat penting dan kekalahan di Terbuka Perancis membolehkan kami belajar apa yang perlu dilakukan apabila bertemu mereka selepas ini," katanya.

Sementara itu, Aaron berkata peluang beraksi di Arena Porte de la Chapelle iaitu venue rasmi badminton pada Olimpik Paris nanti sangat sesuai untuk pemain-pemain yang gemar bermain secara menyerang.

"Saya fikir arena cukup bagus untuk Olimpik nanti kerana sudah bermain tiga perlawanan di sini. Mungkin keadaan sedikit berangin dan sesuai untuk menyerang, jadi kami perlu berjaga-jaga nanti," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 3:47 PM