ISKANDAR gagal  mara ke pusingan ketiga GP Emas Terbuka Switzerland.
ISKANDAR gagal mara ke pusingan ketiga GP Emas Terbuka Switzerland.

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin gagal ke pusingan ketiga Grand Prix (GP) Emas Terbuka Switzerland apabila terpaksa menarik diri akibat kecederaan tumit kanan semalam.

Naib juara Masters Malaysia itu, terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 17-21, 9-17 kepada pemain Indonesia, Muhammad Bayu Pangisthu di St, Jakobshalle, Basel.

Menurut jurulatih perseorangan lelaki negara, Tey Seu Bock, Iskandar memberitahunya dia berasa sakit di tumit kanan sehingga membataskan pergerakannya di gelanggang.

“Selepas pulang ke Malaysia nanti kami akan membawanya berjumpa doktor untuk melihat tahap kecederaan,” kata Seu Bock ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Iskandar yang beraksi cemerlang di Kejohanan Berpasukan Asia (kelayakan Piala Thomas) bulan lalu bermula dengan langkah kanan di Switzerland apabila menumpaskan pemain utama Ireland Scott Evans 18-21, 23-21, 21-11 kelmarin.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Zulfadli Zulkiffli turut mengalami nasib sama apabila kalah kepada pilihan kedua dari Taiwan, Chou Tien Chen 21-17, 12-21, 12-21 dalam perlawanan berlangsung satu jam enam minit.

Selepas itu, Soong Joo Ven gagal mengimbangi kehebatan seorang lagi pemain Taiwan Wang Tzu Wei apabila kalah 19-21, 21-19, 13-21, seterusnya perjalanan pemain perseorangan lelaki negara berakhir kesemuanya di kejohanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 10:12 AM