TANG Jie dan Ee Wei atasi beregu Korea Selatan.
TANG Jie dan Ee Wei atasi beregu Korea Selatan.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terus mempamerkan rentak cemerlang di Terbuka China apabila berjaya menempah slot ke suku akhir sebentar tadi.

Pada aksi pusingan kedua di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou, Tang Jie-Ee Wei berjaya mengejutkan pilihan keenam dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Eun Jeung Na selepas mencatat kemenangan 21-15, 15-21, 21-18.

Turut mengiringi mereka ke suku akhir ialah pasangan profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang berjaya mengalahkan gandingan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 18-21, 21-19, 21-12.

Ia pencapaian terbaik pasangan berkenaan tahun ini selepas sering terkandas di pusingan pertama dan kedua. Pasangan nombor 23 dunia itu akan berdepan pilihan keempat dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai yang mengalahkan satu lagi gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-16, 21-13.

Sementara itu, hasrat pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk merasai nikmat suku akhir buat kali keenam tahun ini tidak kesampaian apabila tumpas kepada wakil Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito.

Tze Yong yang memenangi set pertama berada di ambang kejayaan pada rubber set apabila mendahului 20-17 namun dia gagal menahan asakan Shesar Hiren sebelum tumbang 21-18, 11-21, 20-22.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 12:14 PM