WEI Chong dan Kai Wun tersingkir di pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
WEI Chong dan Kai Wun tersingkir di pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun perlu mengatasi kelemahan membabitkan aspek mentaliti jika mahu merealisasikan Impian bergelar pemain bertaraf dunia.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pasangan negara itu perlu berusaha lebih keras lagi jika mahu berdiri sebaris pemain hebat lain.

"Mereka bermain dengan baik tetapi tidak cukup. Mentaliti mereka masih belum capai tahap untuk menjadi pemain bertaraf dunia.

"Ini yang mereka perlu bina iaitu mentaliti dan kepercayaan kepada diri sendiri. Selepas mereka mendahului 16-12 di set ketiga, mereka mahu mengutip mata dengan cara senang dan ini adalah satu kesilapan besar yang mereka buat.

"Namun, secara keseluruhannya, mereka menunjukkan prestasi yang baik, lebih baik berbanding tiga kejohanan sebelum ini," katanya.

Terdahulu, Wei Chong-Kai Wun tersingkir di pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark, malam tadi.

Wei Chong-Kai Wun yang layak beraksi di kejohanan kali ini pada saat akhir susulan penarikan diri pasangan dari negara lain memberi tentangan sengit sebelum tewas di tangan beregu nombor tiga dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang 16-21, 21-14, 17-21 pada aksi yang berlangsung di Royal Arena.

Mengikut rekod, selepas berjaya mempertahankan gelaran di Terbuka Taiwan, Jun lalu, pasangan ranking ke-25 dunia itu'tenggelam' apabila tewas di pusingan pertama dalam tiga kejohanan iaitu Terbuka Korea, Terbuka Jepun dan Terbuka Australia.

Wei Chong-Kai Wun turut muncul naib juara Masters Malaysia, Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 2:34 PM